DR ROHAIZAT YON
DR ROHAIZAT YON
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEPANJANG enam bulan, beliau sentiasa dilihat bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham pada sidang media harian Covid-19.

Namun, 10 Jun lalu buat julung kali beliau diundang memberikan ucapan sempena persaraannya dan juga menandakan berakhirnya khidmat sebagai 'panglima perang' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau antara individu penting yang bertungkus-lumus memastikan usaha memerangi Covid-19 berjaya.

Ikuti wawancara bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), DATUK DR ROHAIZAT YON bersama wartawan, NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN bagi berkongsi pengalamannya sepanjang 35 berkhidmat di KKM.

Ringkasan mengenai Dr.

Saya berusia 60 tahun dan bersara wajib pada 10 Jun lalu selepas 35 tahun 10 hari berkhidmat dengan KKM.

Saya mendirikan rumah tangga bersama Datin Fasidah Othman dan dikurniakan tiga puteri.

Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Sulong, Sekolah Menengah Dato' Sulaiman Parit Sulong di Batu Pahat, Johor hingga tingkatan lima.

Seterusnya peringkat matrikulasi di Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur sebelum mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada 1990 hingga 1991, melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang perancangan kesihatan di Australia.

Seterusnya pada 2007, menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kesihatan awam (pengkhususan dalam ekonomi kesihatan dan pembiayaan kesihatan) di UKM.

Kerjaya saya bermula sebagai doktor pelatih (pegawai perubatan siswazah) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 1985 dan kemudian menjadi pegawai perubatan di Hospital Kluang pada 1986. Dua tahun kemudian, dilantik menjadi Pengarah Hospital Kluang.

Pada 1990, saya melanjutkan pengajian di Australia dan selepas tamat pengajian selama setahun, saya ditukarkan ke Ibu Pejabat KKM di Bahagian Perkembangan Perubatan sehingga 1996.

Selepas itu, saya bertugas di Bahagian Perancangan KKM sehingga 2008 di mana selain membuat perancangan sistem kesihatan negara, perancangan fasiliti kesihatan dan pembiayaan kesihatan. Saya turut terbabit dalam merangka pelan kesihatan untuk KKM dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, Kelapan dan juga Kesembilan.

Kemudian, saya kembali berkhidmat ke Bahagian Perkembangan Perubatan selaku Timbalan Pengarah Kanan yang bertanggungjawab merancang, melaksana memantau dan mengawasi perkhidmatan di hospital.

Saya juga bertanggungjawab dalam perancangan tenaga kerja kesihatan seperti program pegawai perubatan siswazah, program latihan kepakaran untuk doktor, program latihan kepakaran tahap tinggi yang dikenali sebagai sub kepakaran, kemajuan kerjaya doktor dan juga untuk anggota kesihatan yang lain di hospital KKM.

Pada 2017, saya dipindahkan ke bahagian perancangan sebagai pengarah perancangan dan berkhidmat selama dua tahun.

Saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 25 Mac 2019 sebelum bersara wajib 10 Jun lalu.


   

Jika bukan sebagai doktor, apa pekerjaan yang mungkin Datuk ceburi?

Semasa bersekolah, selain bercita-cita menjadi doktor, saya juga teruja melihat rakan senior menceburi bidang kejuruteraan.

Selain itu, saya turut meminati bidang perguruan kerana teruja dengan sikap dan dedikasi guru yang mendidik kami pada waktu itu.

Contoh, Allahyarham guru Sejarah saya yang mengajar kami Matematik kerana ketiadaan guru untuk mata pelajaran itu.

Saya lebih berbangga kerana walaupun Allahyarham guru mata pelajaran Sejarah, tetapi mampu mendidik saya sehingga mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat cemerlang dalam mata pelajaran Matematik.

Jika tidak menjadi doktor, berkemungkinan saya menjadi jurutera atau guru.


Kongsikan minat dan hobi Dr.

Saya suka melakukan aktiviti seperti bercucuk tanam, membersihkan halaman rumah dan menanam bunga.

Cuma sejak Disember 2019, ketika Covid-19 mula menular, saya mula sibuk menyebabkan tidak dapat menguruskan tanaman ini dengan baik.

Apabila bersara, saya akan manfaatkan masa terluang untuk menumpukan perhatian kepada hobi ini.

Anak sulung saya dan suaminya adalah arkitek, mereka juga membantu membina landskap di kawasan rumah menjadikan ia ada tarikan tersendiri sebagai elemen terapi.

Saya juga akan menulis dalam majalah atau jurnal. Sehingga kini lebih 60 sudah diterbitkan.

Selain itu, saya akan turut memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran.


Digelar antara 'panglima perang' Covid-19, bagaimana Dr melihat perkara ini?

Saya tergamam dan adakalanya tersentuh hati apabila digelar panglima perang pandemik ini.

Gelaran ini umpama memikul tanggungjawab yang berat kerana saya perlu beri teladan yang baik bukan hanya semasa berada di KKM malah apabila berada di tempat awam.

Ini kerana segala tindakan dan tingkah laku sentiasa menjadi perhatian dan ikutan ramai dalam menangani wabak Covid 19.

Pada mulanya, saya hairan apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham menggunakan perkataan ini (panglima perang).

Panglima adalah istilah lama yang analoginya luas bermaksud kerjasama berpasukan.

Sebagai 'panglima perang', saya bertanggungjawab khusus menjaga kem perang atau batalion saya khususnya hospital dan semua timbalan 'panglima perang' saya serta bala tentera (kakitangan hospital) daripada pegawai perubatan pentadbir, pakar perubatan, doktor hinggalah tukang cuci.

Saya perlu memastikan mereka bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap dalam menghadapi musuh iaitu Covid-19.

Hakikatnya, panglima perang tidak saja bekerja sendirian di KKM. Malah, turut bertugas dengan panglima perang di agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.

DR ROHAIZAT bersama Dr Noor Hisham pada sidang media harian.
DR ROHAIZAT bersama Dr Noor Hisham pada sidang media harian.

Sebagai panglima perang, saya juga bertanggungjawab memberikan maklumat yang cepat, tepat dan setiap masa kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham.

Kedua-dua mereka akan meneliti dan membuat strategi serta memberikan maklumat kepada Perdana Menteri, menteri kanan dan Yang di-Pertuan Agong bagi membuat keputusan untuk negara.

Selain itu, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Chen Chaw Min turut memainkan peranan penting membantu seperti dalam persiapan membeli peralatan perubatan, ventilator, ubat-ubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Pada masa sama, saya perlu memastikan semua anggota, petugas barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.

Ini termasuk Jabatan Imigresen Malaysia yang juga petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan pendatang asing tanpa izin selain ATM dan PDRM.

Sebenarnya, petugas belakang tabir wajar diberikan perhatian serta penghargaan yang sama seperti petugas barisan hadapan.

Mereka terdiri daripada pelbagai kakitangan kesihatan yang bekerja tanpa lelah bertanggungjawab mengumpul, mengolah dan menyediakan data terkini berkaitan Covid-19.

Setiap hari, seawal jam 7.30 pagi, petugas belakang tabir ini yang mengumpul data seperti status hospital, mesin pernafasan dan menyusun strategi.

Tugas sebagai panglima perang mencabar dan setiap sumbangan daripada semua anggota sangat bermakna.


Peranan Dr di KKM sepanjang Covid-19 menular?

Antara peranan saya ialah memastikan hospital yang merawat pesakit Covid-19 dalam keadaan bersiap sedia daripada segi petugas, ubat-ubatan, PPE, ketersediaan katil dan peralatan.

Ini satu tugas yang berat dan ia turut dikongsi Dr Adham dan Dr Noor Hisham.

Selain itu, pasukan saya juga perlu memikirkan adakah Malaysia mempunyai hospital saringan Covid-19 yang mencukupi?

Jika mencukupi, apakah bilangan hospital ini mampu merawat pesakit Covid-19?

Begitu juga dengan makmal yang menjalankan ujian pengesanan Covid-19.

Pada masa sama, saya perlu memantau bekalan PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan selain menyediakan garis panduan rawatan dan prosedur operasi standard (SOP) di hospital.

Paling penting, saya perlu memastikan petugas kesihatan selamat daripada sebarang jangkitan.

Saya bersyukur kerana berbanding negara lain di Malaysia tiada seorang petugas kesihatan meninggal dunia disebabkan merawat pesakit Covid-19 di wad penyakit itu.

Anggota kesihatan yang meninggal dunia adalah kerana dijangkiti semasa mereka ke luar negara, susulan jangkitan kluster majlis perkahwinan, kluster berkaitan Sri Petaling, jangkitan daripada komuniti dan sebagainya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham bersama saya berpeluang bermuzakarah atau berbincang secara maya bersama ketua jemaah tabligh meminta ahli mereka tampil untuk membuat saringan Covid-19.

Saya dan Dr Noor Hisham juga terbabit memberi input, membuat SOP dan dasar mengenai solat Jumaat, majlis korban dan keperluan bagi rakyat Malaysia sama ada perlu atau tidak menunaikan ibadat haji tahun ini.

Kami dan pasukan diundang dalam muzakarah secara pertemuan dan secara maya dengan semua mufti di Malaysia bagi memberikan pandangan itu dan alhamdulillah, ia diterima sebagai panduan.

Saya ingin berkongsi maklumat mengenai gerak kerja yang KKM lakukan pada peringkat awal penularan pandemik Covid-19.

Semasa peringkat pertama iaitu fasa berjaga-jaga daripada 16 Januari hingga 24 Januari, KKM hanya mempunyai 56 hospital yang menjalankan saringan, hospital merawat (26 hospital), katil pesakit Covid-19 (1,661 katil), katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 (sembilan) dan makmal kesihatan awam (enam).

Peringkat kedua ialah fasa pencegahan bermula pada 25 Januari hingga 15 Mac. Hospital saringan menjadi 59 hospital, hospital merawat (32 hospital) dan bilangan katil di wad dan ICU juga bertambah.

KKM juga membina hospital yang dipanggil Pusat Rawatan Covid-19 dan Kuarantin Berisiko Rendah.

Sejak 12 Mac hingga kini, KKM sudah mempunyai 120 hospital yang boleh melakukan saringan pesakit Covid-19 dan ini tidak termasuk klinik kesihatan.

Tujuh hospital khusus merawat pesakit Covid-19 manakala 33 lagi hospital ialah hospital hybrid (merawat pesakit Covid-19 dan juga pesakit bukan Covid-19). Bilangan katil meningkat sehingga 5,000 katil dan memiliki lebih 1,000 mesin pernafasan.

KKM juga mencipta sejarah apabila membina hospital baharu sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang dalam tempoh tiga hari sahaja.

KKM bertuah kerana Dr Adham sentiasa mengambil berat.

Setiap pagi, tanpa cuti, bermula jam 7.30 pagi, kami bersama panglima lain berbincang dengan Dr Adham sebelum Dr Adham dan Dr Noor Hisham menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, Mesyuarat Kabinet atau taklimat kepada Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong.


Dr dan petugas barisan hadapan lain adalah tulang belakang perang menentang Covid-19, pasti jadual harian Datuk sentiasa padat.

Semasa menjadi doktor pelatih atau Pegawai Perubatan Siswazah di HSA Johor Bahru, bilangan doktor pelatih daripada semua universiti dalam tempoh setahun tidak ramai iaitu kira-kira 300 hingga 400 orang.

Saya bekerja siang malam, malah ada kalanya sehingga 72 jam.

Apabila menjadi pegawai perubatan, saya bekerja mengikut waktu pejabat dan dalam seminggu, ada tiga hingga empat kali bertugas atas panggilan (on-call).

Selepas memiliki ijazah sarjana dalam pengkhususan perancangan kesihatan, saya diarahkan bertugas di Ibu Pejabat KKM dan memberi tumpuan kepada aspek hospital serta pesakit secara urus tadbir klinikal.

Oleh kerana saya menjaga hospital, pasukan 'tentera' saya terdiri daripada pelbagai kakitangan kesihatan termasuk pakar perubatan dan pembedahan melebihi 100 bidang kepakaran serta subkepakaran. Mereka juga sangat mementingkan pesakit.

Kami terpaksa memilih hujung minggu jika mahu mengadakan mesyuarat atau perbincangan bersama pakar KKM.

Ini kerana kami tidak mahu menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit jika diadakan pada waktu bekerja.

Rutin paling mencabar sepanjang berkhidmat dengan KKM ialah sejak penularan Covid-19, bermula Disember 2019.

Ini kerana jadual dan rutin bekerja amat berbeza. Seawal 7.30 pagi, saya sudah berada di pejabat Dr Adham untuk memberi taklimat situasi Covid-19 pada hari sebelumnya hingga awal pagi.

Pada jam 8.30 pagi, saya akan memberi penerangan kepada Dr Noor Hisham di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan.

Kemudian saya kembali ke pejabat untuk meneruskan mesyuarat susulan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Perkhidmatan Hospital sehingga jam 12 tengah hari.

Pada jam 5 petang, saya akan turut serta pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 bersama Dr Noor Hisham.

Semasa waktu genting iaitu gelombang kedua Covid-19 yang kes meningkat mendadak, setiap hari saya pulang lewat ke rumah ada kalanya pada jam 12 tengah malam.

Pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kita menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sebagai usaha pencegahan Covid-19 dan berjaya mengurangkan bilangan kes.

Akta ini amat berguna dan dapat melihat kejayaan mengurangkan kes bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemudian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Bagaimana Datuk melihat perkembangan sektor kesihatan di Malaysia dan tahapnya berbanding negara lain?

Perkhidmatan kesihatan di Malaysia antara yang terbaik di dunia dan bayaran dikenakan kepada pesakit serendah RM1 saja.

Kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), Universal Health Coverage dan Deklarasi Astana (Astana Declaration) Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia menerima banyak anugerah di peringkat antarabangsa seperti International Medical Travel Journal Medical Travel Award dan Global Health Consumer Indeks.

Antara anugerah lain yang diterima Malaysia ialah Asia Pasific Health Care dan Medical Tourism 2018, International Living's Annual Global Retirement Indeks 2014 hingga kini.

Selain itu, Malaysia juga menerima Mastercard Presen Rating Global Travel Indeks 2011 dan 2018 dan World Best Hospital Medical Care Tourist pada 2013 hingga 2019.

Satu lagi, Malaysia menjadi antara negara pertama di dunia dalam Westren Pacific Region-World Health Organization yang pertama berjaya menghapuskan jangkitan HIV dan siflis daripada ibu kepada anak mereka.

International Living Magazine in Global Annual Retaimen Indeks juga menamakan Malaysia sebagai sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia selama 25 tahun berturut-turut.


Bagaimana Dr melihat penularan Covid-19 daripada awal hingga kini di Malaysia?

Pada peringkat awal penularan wabak ini, ia lebih mudah kerana kes yang dijangkiti adalah kes import iaitu pelancong China dari Wuhan melalui Singapura. Namun, KKM dapat mengatasinya hingga selesai. Peringkat kedua jangkitan juga berpunca daripada kes import, tetapi membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Kes ini juga mudah kerana kita melakukan pengesanan kontak aktif dan usaha ini berjaya.

Peringkat ketiga jangkitan ialah kluster sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan rakyat tempatan dan KKM juga berjaya membuat kawalan. Seterusnya, KKM berhadapan dengan kluster Sri Petaling yang membabitkan ramai pesakit. Tindakan kerajaan menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berjaya membendung penularan wabak ini dan bilangan pesakit berkurangan. Masyarakat perlu terus mengamalkan normal baharu kerana ia dapat memulihkan keadaan menjadi lebih baik.


Mesej Dr kepada petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia?

Petugas barisan hadapan dan rakyat disyor melaksanakan saranan Dr Adham. Beliau selaku ketua kepada panglima tentera KKM memperkenalkan kaedah CAPP iaitu Cegah, Amal, Patuh dan Pantau. Petugas barisan hadapan perlu mengamalkannya untuk keselamatan mereka dan mengelak daripada dijangkiti. Bagi masyarakat, selain mengamalkan normal baharu, mereka juga perlu mematuhi amalan 3S iaitu elak Sesak, Sempit dan Sembang dekat. Huruf Covid ini sesuai untuk kefahaman semua.

C, menjauhi tempat sesak (crowded), sempit (confine) dan sembang dekat (close conversation).

O, operasi yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan terdapat pesakit bukan Covid-19 yang turut memerlukan rawatan.

V, vaksin dan virus yang masih belum ada vaksin untuk Covid-19. Buat masa ini, 'vaksin' yang ada ialah penjarakan sosial bagi memutuskan rangkaian virus ini.

I, integreted atau kerjasama bersama pelbagai pihak dalam memerangi penularan ini.

D, digital. Ia perkara yang menjadi normal baharu melalui penggunaan banyak platform digital seperti belajar secara dalam talian dan perkahwinan maya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:40 AM