GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu tampil dan memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia dianggarkan melebihi 5,000 orang.

“Maklumat ini berdasarkan kes positif yang disahkan Covid-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu di negeri masing-masing.

“Berikutan daripada kejadian Covid-19 di Brunei, KKM menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC negeri.

“KKM juga ingin menggesa supaya semua perhimpunan membabitkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid- 19 berlaku,” katanya.

Sebelum ini, pesakit pertama Covid-19 yang diuji positif pada Isnin lalu menghadiri perhimpunan di sebuah masjid di Sri Petaling dan terbang kembali ke penerbangan AirAsia melalui Miri, Sarawak.

Menteri Kesihatan Brunei Md Isham Jaafar berkata, pesara berusia 53 tahun itu meninggalkan negara itu pada 27 Februari dan kembali pada 3 Mac selepas menghadiri majlis khas bersama peserta tabligh lain dari Brunei, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:57 PM