AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
HM Digital

SELANGOR bersedia bekerjasama dengan barisan kabinet baharu yang dilantik demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau kekal konsisten mengharapkan hubungan yang profesional di antara negeri dan juga Persekutuan.

“Saya sedia berbincang untuk kepentingan awam, rakyat Selangor, demi kemaslahatan umum dan demi kesejahteraan kedua-dua pihak, Selangor dan Malaysia.

“Ekonomi di negara kita sebanyak 25 peratus bertapak dan berpusat di Selangor. Jika 25 peratus digagalkan, masing-masing akan kerugian dan yang paling terima kesan adalah rakyat, negara secara keseluruhan.

“Jadi, menyedari perkara itu saya bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama secara profesional demi rakyat,” katanya ketika diminta mengulas hubungan Selangor dan Persekutuan selepas terbentuknya kabinet baharu.

Amirudin juga berharap kerajaan negeri tidak berada dalam keadaan tertekan dibuli dalam beberapa situasi seperti sebelum ini.

“Saya harap situasi itu tidak berlaku. Tetapi kalau berlaku juga saya percaya rakyat boleh menghukum seperti ditunjukkan dalam beberapa penggal lalu dengan kerusi bertambah,” katanya.

Beliau turut mengulas ketika ditanya hubungannya dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat pernah akrab sebelum ini.

“Saya tak pasti ada hubungan istimewa ke kurang istimewa ke. Tapi yang penting, beliau ada tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Gombak, pernah bertugas di Selangor dan tahu kepentingan negeri Selangor,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:40 AM