TAN Sri Muhyiddin Yassin bersama Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu pertemuan di kediaman Muhyiddin semalam. FOTO FACEBOOK DRMAZA
TAN Sri Muhyiddin Yassin bersama Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu pertemuan di kediaman Muhyiddin semalam. FOTO FACEBOOK DRMAZA
Yusmizal Dolah Aling


KABINET baharu perlu dianggotai individu yang jujur, cekap dan tidak memusuhi perkara asas dalam negara terutama Islam selain tidak membuat kenyataan yang memperbodohkan mereka.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia adalah antara perbincangannya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkunjung ke rumah pemimpin negara itu, semalam.

Berkongsi pengalaman itu di Facebook, hari ini, Mohd Asri berkata, apa yang menggembirakan ialah beliau dimaklumkan anggota kabinet melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Menurutnya, rakyat memerlukan kehidupan aman, ekonomi yang baik dan persekitaran selesa untuk meneruskan kehidupan.

“Saya juga dimaklumkan beliau (Muhyiddin) meminta setiap yang akan menganggotai kabinet tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki.

“Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang dia peroleh,” katanya.

Mohd Asri berkata, beliau juga memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa dirinya percaya anggota kabinet terdiri daripada kalangan mereka yang bersih daripada rasuah dan berkualiti.

“Insya-Allah ia adalah hujah yang kuat untuk beliau. Bertawakallah kepada Allah SWT dan sentiasa memohon pertolongan daripadaNya,” katanya.

Katanya, beliau bersama rakyat menanti berita baik, esok serta menyokong kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara.

“Saya bersama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu. Demikian jua, saya bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 5:45 PM