JUSTIN mengahwini wanita idamannya Hailey Baldwin.
JUSTIN mengahwini wanita idamannya Hailey Baldwin.
Georgie Joseph


KOMPAS karier penyanyi fenomena ini tidak disangkal penuh dengan pelbagai ranjau serta suka duka. Sejak namanya meledak sekitar lebih 10 tahun lalu, industri hiburan tidak pernah sepi disajikan dengan cerita mengenainya, baik buruk atau manis.

Menginjak usia 26, Justin Bieber kini menunjukkan perubahan mendadak baik daripada segi kematangan, keperibadian serta kerjayanya. Paling ketara, selepas dia mengahwini wanita idamannya Hailey Baldwin dua tahun lalu.

Melihat hubungan mereka yang begitu telus berkasih sayang sekali gus membuatkan peminat sendiri seronok dengan kebahagiaan dikecapi. Justin benar-benar menemui cinta sejati yang tanpa disedari mengubah kompas hidupnya.

Menyambut ulang tahun kelahirannya semalam juga, penyanyi Yummy itu memutuskan untuk menyambutnya bersama cinta hati iaitu isterinya saja. Dia cuma mahu meluangkan masa bersama Hailey pada hari penuh bermakna itu.

Mana tidaknya, penyanyi terbabit tidak menduga kehadiran isteri dalam hidup membuka hatinya meneruskan komitmen lebih jauh. Berkongsi saat dia melamar Hailey, Justin berkata dia gagal menahan rasa gementar berbuat demikian.

HIDUPNYA kini diulit kebahagiaan sejak mengahwini Hailey.
HIDUPNYA kini diulit kebahagiaan sejak mengahwini Hailey.

“Saya sangat berdebar sewaktu mahu melamarnya. Saya bukan berasa takut sama ada jawapannya ya atau tidak, tetapi risau adakah diri mampu menjalankan komitmen sebagai lelaki terbaik untuknya.

“Lafaz untuk sentiasa bersama di saat senang dan susah adalah satu janji yang perlu dibuat dengan penuh kejujuran. Saya tertanya mampukah saya lakukannya dan itulah pertarungan perasaan dalam diri,” katanya.

Menurut Justin, dia akhirnya memutuskan untuk mengikut kata hati apalagi dia sendiri tidak mahu mempersiakan wanita yang amat dicintainya itu.

“Menjadi seorang suami adalah perkara yang sentiasa saya idamkan. Saya putuskan untuk memilih wanita ini (Hailey) dan lakukan saja mengikut kata hati,” katanya.

Pada sambutan hari lahirnya itu, Justin terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bersama Hailey untuk makan malam berdua. Mereka kemudian menyertai beberapa rakan untuk memeriahkan lagi sambutan itu.

Tiada sambutan gah, cuma menikmati kek cawan, minum dan makan manisan bersama, serta dihiburkan dengan kugiran. Lagu selamat hari jadi juga dinyanyikan untuknya secara spontan membuatkan dia tersipu-sipu malu.

Pada saat ini, kebahagiaan mereka semestinya bukan lagi rahsia di mata umum. Bahkan, menerusi album terbaharunya berjudul Changes, dia turut menulis lebih daripada satu lagu yang berkisar mengenai isterinya itu.

Sejak melancarkan albumnya itu, beberapa lagu termasuk Yummy dan Intentions menunjukkan kematangan berbeza daripada Justin. Ternyata, banyak aspek baharu yang berbeza disuntik dalam setiap lagunya.

Paling ketara adalah setiap video muzik lagunya mempersembahkan musim yang berbeza dilalui penyanyi itu dalam hidupnya. Dia banyak menekankan kepada pengalaman lalu dan aspek konsisten yang masih berbaki dalam dirinya.

Changes berkisar versi dirinya yang lebih baik

Meskipun judul albumnya itu membuatkan ramai cenderung memikirkan dia berubah 360 darjah, Justin mengakui sebaliknya. Dia berkata seseorang tidak perlu berubah sepenuhnya namun hanya harus menjadi lebih bagus daripada sebelumnya.

“Saya tidak berubah pun meskipun banyak perubahan hidup yang berlaku. Saya cuma mahu menjadi versi diri yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Ya manusia berubah, persekitaran pun berubah namun kepercayaan kepada Tuhan akan kekal sama,” katanya turut berbicara mengenai agama.

Justin yang kini memiliki program siri YouTube sendiri berjudul Seasons juga berkongsi mengenai perspektif hidup. Daripada sudut pandangan peribadinya, hidup perlu diteruskan tanpa paksaan melakukan sesuatu yang tidak disukai.

“Dalam lagu Changes misalnya, ia bercerita mengenai ada hari-hari kita mahu berusaha memaksa diri ke depan. Manakala, akan ada hari di mana kita rasa tidak mahu berbuat apa-apa dan itu berlaku mengikut ‘mood’ dan perangai.

JUSTIN Bieber kembali dengan album baru selepas lima tahun berjudul Changes.
JUSTIN Bieber kembali dengan album baru selepas lima tahun berjudul Changes.

“Kadangkala, hidup sentiasa diduga dengan perkara yang kita sukar kawal. Secara semula jadi, sikap kita akan berubah menjadi marah, kecewa, mahupun rasa tiada semangat,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai penyanyi yang pernah melalui banyak detik hitam dalam hidup, Justin mengakui dia perlu menangani perasaan negatif dengan kuat.

“Kita perlu berjuang melawan setiap perasaan yang pada akhirnya sekadar fikiran liar. Kita juga perlu memilih untuk menyalurkan sepenuh usaha dalam kerjaya mahupun sesuatu yang dicintai.

“Apabila berbuat demikian, nescaya perasaan berkobar-kobar itu akan hadir sendiri dan saya sendiri akan memaksa diri untuk bangun dari katil,” katanya.

Sejak dilancarkan baru-baru ini, album Changes serta-merta mendaki tangga teratas dan meletakkan nama Justin antara artis yang masih berbisa.

Meskipun dia pernah berehat lama selepas album terakhirnya Purpose dilancarkan lima tahun lalu, peminat nampaknya masih padu menyokong Justin.

Pada minggu pembukaan selepas dilancarkan, album itu menjadi nombor satu apabila terjual sebanyak 231,000 unit di AS. Selain itu, Changes turut menerima 135 juta penstriman dan menjadi album paling laku selepas Eminem menerusi Music to Be Murdered By untuk tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:00 AM