Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO NSTP
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia jika dikenakan tindakan oleh partinya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih menjadi pemimpin dalam parti berkenaan.

“Saya masuk parti ini kerana saya menentang pemimpin memakan rasuah, salah guna kuasa dan mahu membersihkan politik negara. Dalam bab ini, sebagai pemimpin muda, kita perlu berani kerana benar dan ia adalah salah satu kata-kata yang sentiasa didedahkan kepada ahli parti ini.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan diambil untuk bekerjasama dengan Umno secara keseluruhan yang dipimpin oleh pemimpin rasuah.

“Saya memberikan pendirian ini kerana tidak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah, tindakan (boleh) diambil terhadap saya. Namun, biarlah kerana saya percaya dan berpendirian teguh dengan kata-kata berani kerana benar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perjumpaan Ketua Bahagian Armada BERSATU bersama Mahathir diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, 4 petang tadi.

Syed Saddiq berkata, pendekatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan Umno secara keseluruhan tidak dapat diterima.

“Beliau (Muhyiddin) yang juga Perdana Menteri seperti seorang ayah kepada diri saya. Namun, tindakan beliau mengambil ketetapan bekerjasama dengan Umno dipimpin Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak dengan kes jenayah terhadap mereka (tidak boleh diterima).

“Disebabkan itu, saya berpendirian untuk tidak bersama mereka kerana perlu ingat kenapa parti ini diasaskan iaitu menentang pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Mungkin akan ada tindakan dikenakan tetapi sebagai anak muda, kita mesti menyampaikan mesej yang betul iaitu politik berprinsip, amanah, berintegriti dan bermaruah sekali gus memastikan komuniti kekal bersih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 7:22 PM