Gambar fail, Wan Saiful Wan Jan.
Gambar fail, Wan Saiful Wan Jan.
M Hifzuddin Ikhsan


Kubang Pasu: Pendakwaan ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan bermotifkan politik mahupun disebabkan keengganan bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kes disabitkan ke atas bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu sudah berlaku ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih memerintah.

Bagaimanapun, dakwanya, ketika itu tiada tindakan yang diambil ke atas Syed Saddiq, berkemungkinan kerana pengaruh atau kaitannya dengan pemimpin PH yang memimpin kerajaan masa itu.

"Malam tadi, beliau tuduh ini pendakwaan bersifat politik. Saya boleh katakan ini bukan bersifat politik, dan yang kita pastikan adalah mahkamah dan sistem perundangan bebas melakukan tugas tanpa campur tangan badan politik.

"Jadi hendak kata ini pendakwaan politik... dia buat kesalahan itu dan disiasat, (ketika) masih lagi dalam kerajaan PH. Adakah dia tidak didakwa dahulu kerana ada campur tangan kerajaan PH masa itu?" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Ibadah Korban Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Parlimen Kubang Pasu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.

Hari ini, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana milik Armada Bersatu bernilai RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum itu, Syed Saddiq dalam kenyataan malam tadi mendakwa pendakwaan berkenaan adalah bersifat politik dan tidak menolak kemungkinan ia sebagai tindakan kerana keengganannya menyokong kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pemerintahan kini berbeza dengan PN bertegas tidak membenarkan mana-mana pihak menyertai sebarang parti komponennya hanya kerana mahu mengelak daripada didakwa di mahkamah atas salah laku lampau.

"Bagi kerajaan PN, jika ada kes berkaitan, maka pendakwaan boleh teruskan. Untuk kata sertai PN kerana mahu lari (daripada) pendakwaan, itu tidak berlaku.

"Jika kita hendak tawarkan, ramai lagi patut boleh dakwa mahu perlindungan politik tetapi kita tidak bagi. PN tegas mengatakan mereka perlu masuk mahkamah, bersihkan nama di mahkamah," katanya

Berita berkaitan

Syed Saddiq didakwa pecah amanah RM1juta, salah guna wang kempen [METROTV]

Syed Saddiq sedia hadapi pertuduhan di mahkamah esok

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 3:51 PM