WANITA warga emas cedera selepas pahanya tertusuk besi pagar rumahnya pagi tadi. FOTO ihsan bomba
WANITA warga emas cedera selepas pahanya tertusuk besi pagar rumahnya pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Harun Yahya


WANITA warga emas cedera di paha selepas tertusuk jeriji ketika cuba memanjat pagar rumahnya di Sibu, pagi ini.

Difahamkan wanita berusia 72 tahun itu mahu keluar dari rumah namun pagar berkunci dan kuncinya pula dibawa oleh seorang anaknya yang sudah keluar bekerja.

Ketika memanjat, kaki wanita itu tersangkut lalu menyebabkan dua batang besi jeriji tertusuk di pahanya.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.31 pagi tadi.

“Sepasukan anggota bergegas ke lokasi di Lorong Indah Barat 1B di sini. Ketika sampai, sebuah ambulans sudahpun tiba di lokasi.

“Selepas komander operasi berbincang dengan pegawai perubatan, keputusan akhirnya dibuat untuk memotong pagar rumah itu menggunakan pemotong hidrolik,” katanya.

Beliau berkata, besi itu dipotong dan tidak dikeluarkan dari paha wanita itu kerana proses mengeluarkan besi perlu dilakukan oleh doktor di hospital bagi mengelak sebarang risiko lebih tinggi.

Mangsa yang berlumuran darah berjaya diturunkan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 12:40 PM