MUHAMMAD Nazrim (kiri) ketika menceritakan kejadian itu kepada Tengku Muhazan Shah (kanan). FOTO Zaid Salim.
MUHAMMAD Nazrim (kiri) ketika menceritakan kejadian itu kepada Tengku Muhazan Shah (kanan). FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


“TERIMA kasih Allah kerana beri kekuatan dan semangat luar biasa ini,” kata penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, Muhammad Nazrim Mat Asri, 20, yang terselamat daripada lemas di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat selepas dihanyutkan arus sejauh 1.5 kilometer dari pantai.

“Apa yang berlaku kepada saya seperti satu keajaiban. Apabila difikirkan kembali, saya bertahan daripada lemas, (ia) memang sukar dipercayai (dirinya selamat).

“Ketika hanyut, banyak kali saya dilambung ombak dan ada ketika tenggelam serta tertelan air masin, namun saya kuatkan semangat, bertahan dan cuba naik semula ke permukaan.

“Alhamdulillah saya diselamatkan dua lelaki menggunakan bot gentian kaca,” katanya yang dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejurus diselamatkan sebelum dibenar keluar, tengah hari tadi.

Pemuda itu juga sempat bertemu dan berkongsi kisah itu dengan keluarga rakannya, Tengku Muhammad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, yang masih belum ditemui.

Katanya, mereka seramai 14 orang yang semuanya penuntut UiTM Chendering mandi di pesisir pantai yang cetek berikutan ombak kuat.

Menurutnya, pada mulanya mereka mandi dalam kumpulan, sebelum berpecah selepas terdengar seorang daripada rakan mereka dikenali sebagai Faris yang hampir lemas, meminta tolong.

Katanya, beberapa rakan termasuk dia dan Tengku Muhammad Afiq menuju ke arah Faris untuk membantu memandangkan jarak mereka ketika itu kira-kira 20 meter.

“Faris berjaya diselamatkan rakan dan dibawa ke tepi pantai tetapi saya dan Afiq ditarik ombak dan semakin hanyut. Saya dengar Afiq meminta tolong.

“Saya juga sempat menyuruhnya bertahan sebelum berjaya menghampiri dan mengarahkan Afiq meletakkan tangannya di bahu bagi membolehkan dia timbul di permukaan untuk bernafas,” katanya.

Bagaimanapun Muhammad Nazrim berkata, mereka terpisah selepas dipukul ombak besar dan kelibat Tengku Muhammad Afiq hilang daripada pandangan.

“Saya sedih apabila diberitahu Afiq lemas dan masih belum dijumpai,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Nazrim, Mat Asri Che Ali, 52, bersyukur anaknya terselamat daripada lemas.

Berita berkaitan:

  • Solat hajat buat Tengku Muhammad Afiq
  • [UPDATE] Mayat seorang penuntut UiTM ditemui
  • Dua penuntut UiTM dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:09 PM