POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


IMAM maut selepas ditetak sepupunya sebaik selesai menunaikan solat Subuh berhampiran surau Kampung Mamaitom, Tenom, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Platani Ukir, 35, yang juga imam surau berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah ditetak di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai baru selesai menunaikan solat Subuh sebelum kembali ke tempat letak motosikalnya di tepi jalan.

"Mangsa dipercayai diserang dari arah belakang oleh suspek dan ditetak di belakang kepala hingga menyebabkan parah dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

"Saksi kejadian yang menyedari perkara itu melihat mangsa terbaring dan suspek menekan leher mangsa sambil memegang tukul dan terdapat sebilah parang di pinggangnya.

"Saksi cuba membantu tetapi dihalang oleh suspek. Saksi segera menghubungi polis untuk bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menahan suspek dan merampas parang serta tukul.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa adalah sepupu kepada suspek.

"Siasatan juga mendedahkan bahawa suspek dipercayai pesakit mental. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek berusia 53 tahun kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 12:43 PM