NABILA Razali. FOTO Rohanis Shukri
NABILA Razali. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

SETIAP tahun, kita mengharapkan akan ada permulaan baharu dalam mengejar impian dan cita-cita.

Bagi penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, sempena tahun baharu 2020 ini, dia mempunyai impian dalam memastikan kelangsungan kariernya sebagai anak seni terus bergerak dengan cemerlang.

Seperti penyanyi lain, Nabila juga bercita-cita mengeluarkan albumnya sendiri walaupun tidak tahu sama ada boleh melakukannya pada tahun ini atau tidak.

“Saya sendiri tak berani nak janji sekiranya akan menerbitkan album dalam tahun ini. Namun, tentunya saya ada matlamat tersendiri untuk melengkapkan impian tahun ini,” katanya.

Berbicara mengenai karier nyanyiannya, Nabila berkata, dia kini sedang mencari material yang sesuai untuk lagu sebagai single terbaharunya.

“Nama saya sudah cukup sinonim dengan lagu pop yang rancak. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya keluarkan satu lagu berentak balada untuk menampilkan kelainan,” katanya.

Namun, Nabila sedar kemampuan vokalnya yang masih lagi kurang jika dibandingkan dengan penyanyi balada sedia ada.

“Kalau saya keluarkan lagu dengan konsep yang sama, orang sudah boleh agak bagaimana hasilnya. Jadi, saya nak cari lagu balada, namun itu pun satu cabaran buat saya.

“Ada beberapa demo yang saya terima, namun perlu pilih dengan teliti kerana sedar akan kemampuan vokal saya. Jadi, kalau boleh biarlah lagu yang akan saya nyanyi dan keluarkan itu sesuai dengan vokal dan jiwa saya,” katanya.

Walaupun sedang mencari lagu berentak balada, Nabila masih lagi menerima beberapa lagu pop.

“Semua lagu yang dihantar kepada pihak pengurusan saya enak-enak belaka. Namun, buat masa sekarang, saya perlu berhenti seketika daripada memilih lagu rancak.

“Saya nak keluar dari kepompong muzik ‘Nabila Razali’ yang sudah dilabel sebagai penyanyi lagu rancak. Kalau boleh, saya tak mahu ada peminat yang mula bosan dan menganggap saya mampu menyanyi satu genre lagu sahaja.

“Secara tak langsung, akan ada beberapa genre dalam album yang akan saya keluarkan kelak,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah merancang mengeluarkan satu lagu duet bersama artis tempatan, Nabila mengakui pernah merancang ke arah itu.

“Saya belum pernah menyanyikan lagu duet. Dulu pernah ada rancangan ke arah itu dan salah satu impian saya adalah untuk berduet dengan Hael Husaini.

“Namun, timbul kerisauan sekiranya saya akan dibandingkan dengan rakan duetnya, Dayang Nurfaizah. Saya tak mahu timbul isu sebegitu,” katanya.

Menyenaraikan beberapa nama rakan artis yang dia ingin berduet bersama, Nabila juga tidak menolak sekiranya ada bakat baharu yang sesuai untuk dijadikan rakan duet.

“Kalau untuk lagu pop, saya rasa teringin berduet bersama Ismail Izzani, manakala kalau untuk lagu balada, nama Sufian Suhaimi ada dalam senarai saya.

“Namun, saya tak tolak sekiranya ada bakat baha ru yang sesuai dijadikan rakan duet. Yang paling penting adalah keserasian antara saya dengan penyanyi itu,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan, Nabila kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Seindah Tujuh Warna Pelangi yang dijangka ditayangkan di TV3 Februari nanti.

“Ia adalah gandingan pertama saya bersama Aeril Zafrel dan akan menjadi drama pertama lakonan saya yang ditayangkan dalam tahun ini.

“Berlakon dengan Aeril adalah satu pengalaman yang bagi saya, menyeronokkan kerana dia adalah pelakon berpengalaman. Bakatnya juga tak perlu dipertikaikan lagi.

“Saya sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan masih lagi belajar banyak benda dan gunakan pengalaman lakonan sebelum ini, untuk diaplikasikan dalam drama ini,” katanya.

Ditanya mengenai minatnya dalam bidang lakonan, Nabila berkata, dia benar-benar ingin mendalami dunia lakonan.

“Saya beberapa kali digandingkan dengan pelakon lelaki yang berpengalaman. Jadi, untuk memastikan turut mampu memberikan lakonan memberangsangkan, saya ada mengikuti kelas lakonan.

“Namun, saya tak terlalu menghebahkannya mengenainya kerana takut penonton meletakkan harapan terlalu tinggi dan tak mampu untuk memberikan hasil seperti yang mereka harapkan,” katanya.

Yang pasti, Nabila mengharapkan 2020 menjadi tahun terbaik dalam hidupnya terutama membabitkan kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:00 AM