Hadi berkongsi kisah pengorbanan adiknya menerusi ciapan di Twitter. Foto Ihsan Muhammad Hasnul Hadi
Hadi berkongsi kisah pengorbanan adiknya menerusi ciapan di Twitter. Foto Ihsan Muhammad Hasnul Hadi
Redzuan Muharam

DEMI melihat abang kandungnya menyambung pengajian ke menara gading, Muhammad Hasnul Hafiz Hasnol, 20, sanggup menjual komputer riba miliknya kira-kira dua tahun lalu.

Kisah pengorbanan pemuda berkenaan dikongsikan abang sulungnya, Muhammad Hasnul Hadi, 21, menerusi ciapan di Twitter pada 1 Disember lalu.

Sehingga kini, ciapan berkenaan mendapat 1,500 tanda suka dan 932 ulang ciap dengan kebanyakan rata warganet tersentuh dengan kisah dua beradik itu.

Hadi (kanan) dan Muhammad Hasnul Hafiz bersama ibu mereka. Foto Ihsan Muhammad Hasnul Hadi Hasnol
Hadi (kanan) dan Muhammad Hasnul Hafiz bersama ibu mereka. Foto Ihsan Muhammad Hasnul Hadi Hasnol

Bercerita lanjut, Muhammad Hasnul Hadi yang lebih mesra dengan panggilan Hadi berkata, tujuannya berkongsi kisah berkenaan adalah untuk mengingati semula pengorbanan dilakukan adiknya sebelum dia melangkah masuk ke universiti.

“Saya berkongsi kisah di Twitter kerana teringat kenangan dua tahun lalu yang mana ketika itu, kewangan keluarga tidak mengizinkan untuk saya menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

“Namun, adik (Muhammad Hasnul Hafiz) menawarkan diri untuk membantu dan sanggup menjual komputer riba yang dibelinya sendiri hasil bekerja sambilan bagi memastikan saya masuk ke universiti.

“Memang berasa bersalah kerana saya anak sulung dalam keluarga tetapi adik yang berkorban.

“Sejak itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh walaupun diuji dengan masalah sepanjang tempoh pengajian kerana teringat pengorbanannya (adik) terhadap saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Hadi, dia tidak sangka perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai hingga tular di Twitter tetapi gembira jika kisah itu menjadi inspirasi kepada mereka yang membacanya.

Hadi turut berharap supaya kisah itu mendorong warganet menghargai pengorbanan dilakukan ahli keluarga mereka tidak kira ibu bapa atau adik beradik.

“Sebenarnya, kami kerap bergaduh ketika kecil tetapi hubungan dingin itu bertukar menjadi akrab apabila dewasa.

“Sebagai abang, saya kagum dengannya kerana selain saya, dia juga banyak membantu keluarga dengan hasil pendapatannya sebagai cef di sebuah restoran selepas tamat pengajian di sebuah kolej kemahiran.

“Jadi, saya tidak sabar untuk membalas semula jasanya selepas tamat pengajian kelak kerana selama ini, dia banyak membantu emak, Fauziah Suboh, 43, menyara dua lagi adik kami selepas berpisah dengan ayah, dua tahun lalu,” katanya yang juga penuntut semester lima jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 11:06 PM