Shima tinggal bersama Tera di sebuah kabin berdekatan kilang di Kampung Selamat, Pelabuhan Kuantan. Foto Ihsan Tera Adnan
Shima tinggal bersama Tera di sebuah kabin berdekatan kilang di Kampung Selamat, Pelabuhan Kuantan. Foto Ihsan Tera Adnan
Suraya Roslan


SELEPAS ibu dan ayahnya pergi mengadap Ilahi, hanya kucing menjadi peneman bagi mengubati kesunyian seorang pemuda yang tinggal di sebuah kabin kecil.

Kisah Tera Adnan, 26, seorang pengawal keselamatan itu juga tular di media sosial selepas dia tinggal bersama kucing kesayangan di sebuah kabin kecil berdekatan kilang di Kampung Selamat, Pelabuhan Kuantan.

Tera ketika dihubungi berkata, dia mempunyai tujuh ekor kucing peliharaan sebelum ini tetapi enam daripadanya mati dilanggar lori dan digigit anjing.

"Ketika ini yang masih setia menemani saya adalah seekor kucing yang dinamakan Shima menjadi tempat untuk saya berbual dan mengadu nasib.

"Saya juga tidak kisah menggunakan wang gaji untuk membeli makanan Shima walaupun bergaji kecil kerana daripada situ rezeki saya sentiasa cukup untuk menyara hidup.

"Jangan kedekut untuk berbelanja dengan haiwan kerana ia akan mendoakan untuk kita satu hari nanti," katanya yang berasal dari Kelantan.

Tera sentiasa berkongsi rezeki dengan memberi makan kepada kucing di kawasan kabin berdekatan kilang di Kampung Selamat, Pelabuhan Kuantan. Foto Ihsan Tera Adnan
Tera sentiasa berkongsi rezeki dengan memberi makan kepada kucing di kawasan kabin berdekatan kilang di Kampung Selamat, Pelabuhan Kuantan. Foto Ihsan Tera Adnan

Tera berkata, walaupun bergelar yatim piatu, hidupnya terisi dengan kehadiran kucing yang seolah-olah memahami kesunyiannya.

"Kalau saya jumpa kucing jalanan lain, saya akan membeli ayam dan memberi mereka makan, saya tidak berkira untuk membeli makanan mewah untuk kucing.

"Ia menjadi tempat untuk saya mengadu masalah, walaupun ada rakan-rakan suka mengusik saya kerana bercakap dengan kucing tetapi saya tidak kisah," katanya.

Menurutnya, dia yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berharap orang ramai tidak menzalimi haiwan dan sentiasa bersikap mengasihani terhadap binatang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:00 PM