SETAKAT ini Millersudah berlakon hampir3,000 episod sinetron.
SETAKAT ini Millersudah berlakon hampir3,000 episod sinetron.
Oleh Najiy Jefri


HAMPIR 14 tahun mencipta nama di Indonesia, pelakon kelahiran Malaysia, Miller Khan, 32, bersyukur apabila namanya masih bertahan sehingga kini.

Walaupun ketika ditemu bual, dia lebih selesa bertutur dalam dialek Indonesia, Miller mengakui darah anak Melayu dari Malaysia masih tebal dalam dirinya.

“Syukur masih diterima baik di tempat orang dan tak sangka sudah hampir 14 tahun perjalanan seni saya di Indonesia.

“Sudah banyak drama bersiri atau sinetron sudah saya bintangi bersama pelakon hebat Indonesia. Satu pengalaman yang cukup manis dan saat indah dalam hidup,” katanya.

Namun, dalam setiap kemanisan, Miller tidak terlepas melalui pahit getir ketika ingin membina nama di sana.

Bagaimanapun, jejaka tinggi lampai ini bertuah kerana perjalanan menuju kejayaan dalam hidupnya tidak sesukar disangka.

“Asalnya saya mencuba nasib di Indonesia sebagai model iklan saja. Memang tiada perancangan untuk membina nama di sana apatah lagi menjadi pelakon.

MILLER Khan. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
MILLER Khan. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

“Namun, tawaran datang satu demi satu dan berterusan sehingga 14 tahun ini. Memang tak sangka langsung.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada produser filem yang masih terus percayakan saya. Saya selalu membuktikan kemampuan diri setiap masa kerana di Indonesia ramai pelakon mempunyai wajah tampan dan berbakat.

“Dalam tempoh dua tahun ini saya banyak memfokuskan kerjaya dalam filem saja. Setakat ini saya sudah berlakon hampir 3,000 episod sinetron.

“Saya pernah jatuh sakit ketika membintangi filem dan pernah juga putus asa ketika awal kemunculan dalam sinetron kerana tidak larat dengan jadual penggambaran. Bayangkan jika berlakon sinetron, penggambaran dibuat hari ini dan ditayangkan pada hari sama. Sangat penat tapi saya kira berbaloi,” katanya.

Bawa bakat anak tempatan ke Indonesia

Siapa sangka kehidupan selesa yang dinikmatinya kini memberi peluang untuknya berkongsi rezeki kepada anak tempatan yang mahu mencuba nasib di Indonesia.

“Saya mempunyai syarikat pengurusan bakat di Indonesia. Saya cuba membawa bakat beberapa anak Malaysia ke sana dengan memberikan gambar dan profil mereka kepada produser Indonesia.

“Syafiq Kyle sebenarnya hampir disunting sebuah syarikat produksi terkenal Indonesia tapi disebabkan kepadatan jadual dia terpaksa menolaknya.

“Niat saya cuba nak bantu bakat dari Malaysia untuk membina tapak di Indonesia. Saya lihat banyak peluang cerah jika mereka mencuba nasib di sana,” katanya.

Kekasih 11 tahun lebih muda

Miller mengakui sudah mempunyai teman istimewa yang jauh lebih muda daripadanya. Wanita bernama Nathalie Stephens itu dikenalinya sejak dua tahun lalu.

“Dia adalah wanita yang sedang saya berkawan rapat. Kami berbeza usia 11 tahun, tetapi saya tak kisah kerana dia seorang yang matang dan pandai mengambil hati saya .

“Buat masa ini belum ada sebarang perancangan menamatkan zaman bujang kerana masing-masing ingin mengejar impian. Jadi biarlah kami fokus dengan kerjaya dulu. Lagipun, kami berdua masih muda,” katanya.

Menurut Miller, dia merancang menamatkan zaman bujang apabila usia mencecah 40 tahun berikutan kekasihnya masih muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:20 AM