RAKAMAN tular menunjukkan graduan berkelakuan biadap selepas menerima skrol ketika Istiadat Konvokesyen UM Ke-56. FOTO IHSAN PEMBACA
RAKAMAN tular menunjukkan graduan berkelakuan biadap selepas menerima skrol ketika Istiadat Konvokesyen UM Ke-56. FOTO IHSAN PEMBACA
Rosyahaida Abdullah


UNIVERSITI Malaya (UM) sudah membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan seorang graduannya yang dikatakan berkelakuan biadab ketika menerima ijazah di pentas pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali Ke-59, pagi semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, UM merujuk kepada tindakan graduan kejuruteraan awam yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan itu serta menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya.

“Pelakuan ditunjukkan dalam sebuah istiadat rasmi yang dibuka secara rasmi oleh Tuanku Canselor UM pada sidang pertama pagi Sabtu lalu adalah biadap dan tidak dapat diterima sama sekali.

“UM mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancarannya. Ia mencemarkan bukan saja nama baik UM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, malah graduan dan seluruh warga universiti,” katanya.

UM menjelaskan, menjadi tanggungjawab universiti memastikan mahasiswa yang diasuh lahir sebagai individu berpengetahuan yang dapat memanfaatkan ilmu untuk menjadi insan terdidik.

“Sebagai sebuah universiti diiktiraf antara terbaik di dunia, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara. Bagaimanapun, dalam menggalas amanah untuk mendidik generasi masa depan, kami juga percaya apa jua tindakan berlandaskan prinsip perlu dilakukan pada tempat dan cara yang betul.

“Menjadi tanggungjawab kami memastikan individu dilahirkan UM menjadi insan terdidik, berakhlak dan menghormati prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ malah arif dengan peranan mereka sebagai warga negara berperlembagaan,” katanya.

Media semalam melaporkan tindakan nekad seorang graduan yang menunjukkan tindakan protes sejurus menerima skrolnya di atas pentas dalam istiadat konvokesyen.

Tindakannya tular sekali gus menerima kecaman netizen yang menyifatkannya sebagai biadap dan tidak menghormati istiadat rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:04 PM