NAZIRA  di sisi  Muhammad Ariff yang mengambil UPSR di Hospital Tuanku Jaafar.
NAZIRA di sisi Muhammad Ariff yang mengambil UPSR di Hospital Tuanku Jaafar.

SEREMBAN: Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seremban Jaya 1 di sini, dapat menjawab peperiksaan dengan tenang walaupun di hospital.

Muhammad Ariff Zuraimi, 12, akui sedih kerana tidak dapat menduduki peperiksaan itu bersama rakan lain di dalam dewan peperiksaan.

Murid tahun enam itu berkata, dia dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) kerana patah kaki kiri akibat kemalangan pada 20 Ogos lalu.

“Mujur tangan tidak cedera dan hanya kaki kiri patah. Saya masih boleh menulis dan menjawab soalan peperiksaan.

“Alhamdulillah, saya dapat hadapi peperiksaan dengan baik walaupun terpaksa berada di hospital. Saya harap dapat menduduki peperiksaan ini sehingga hari terakhir,” katanya di HTJS, semalam.

Muhammad Ariff berkata, sepanjang dua minggu di HTJS, guru sentiasa datang membantunya membuat persiapan menghadapi peperiksaan itu.

“Guru datang ke hospital setiap hari membantu saya mengulangkaji pelajaran dan memberi bimbingan.

“Jadi, saya tidak ketinggalan dalam pelajaran malah guru juga memberikan tip untuk persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nazira Ahmad, 40, berkata, pada mulanya dia bimbang anaknya tidak dapat mengambil UPSR akibat kemalangan.

Namun, dia lega apabila pihak sekolah memberikan perhatian terhadap anak kedua daripada empat beradik itu terutama dalam memastikan tidak tercicir dalam pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:40 AM