Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Selepas empat tahun terlantar koma, Kamareeah Arwae yang menghidap tumor di kepala akhirnya menghembuskan nafas terakhir pagi hari ini.

Kamareeah, 40, meninggal dunia di sisi suaminya, Fairol Haziri Rahim, 48, pada 4 pagi dan meninggalkan sepasang cahaya mata berusia empat dan enam tahun.

Fairol Haziri berkata, isterinya baru lima hari dibenarkan keluar dari hospital selepas hampir sebulan dirawat disebabkan banyak komplikasi yang dialami.

"Isteri dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu lalu dan doktor memaklumkan keadaannya semakin baik namun saya berasa tidak sedap hati dan rasa 'masanya' sudah tidak lama.

"Tengah malam tadi, saya sempat memberikannya susu dan tiada perubahan ketara dilihat sebelum saya perasan keadaannya yang sedikit berlainan dan menyentuh kulitnya yang sudah dingin.

"Saya cuba memeriksa nadinya dan menyedari ia semakin perlahan menyebabkan saya segera mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum nadinya semakin tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini, hari ini.

Allahyarham Kamareeah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cabang Tiga Kedai Buloh pada 2.15 petang hari ini.

Kisah Kamareeah pernah mendapat liputan meluas media apabila dikesan mengandung dua bulan ketika koma akibat tumor di kepala dan janin itu terus membesar sebelum bersalin secara pembedahan ketika kandungan mencecah tujuh bulan.

Bayi perempuan yang dilahirkan dan pernah digelar 'bayi ajaib' dinamakan Farah Hanis Fairol Haziri dan kini sudah berusia empat tahun.

Fairol Haziri berkata, seorang lagi cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama Kamareeah, Farras Hazim, 6, dan berada di bawah jagaannya.

"Sepanjang isteri sakit, Farah Hanis dijaga sepupu tidak jauh dari rumah namun kerap dibawa menjenguk kami memandangkan saya tidak boleh meninggalkan isteri yang sememangnya bergantung kepada saya," katanya.

Fairol Haziri berkata, selepas ini anak bongsunya itu mungkin kekal di bawah jagaan sepupu memandangkan dia masih perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu tanpa isteri yang harus dijaga dan dalam masa yang sama akan kembali bekerja.

Menurutnya, sepanjang empat tahun menguruskan isteri, dia tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan bantuan dan ihsan orang ramai serta kenalan yang menghulurkan sumbangan bagi kos rawatan isteri.

"Sepanjang empat tahun menjaganya, saya langsung tidak berasa satu bebanan malah cukup berpuas hati kerana dapat mengurusnya sehabis baik.

"Selepas ini saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada dua cahaya mata kami ini selain kembali bekerja untuk menyara hidup kami bertiga," katanya.

Berita berkaitan:

Farah Hanis bayi ajaib [METROTV]

'Bayi ajaib' ada 5 ibu [METROTV]

Kelahiran Farah Hanis satu sejarah, keajaiban

Belum pernah rasai susu ibu

Moga ada keajaiban buat Kamareeah [METROTV]

FAIROL di pusara isterinya, Kamareeah Arwae. FOTO Siti Rohana Idris
FAIROL di pusara isterinya, Kamareeah Arwae. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:03 PM