Norzailan (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Bahau hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Norzailan (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Bahau hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


MAHKAMAH Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM40,000 terhadap pemandu treler yang menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Redza Azhar terhadap Norzailan Omar, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian terhadap segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang boleh dijangka atau mungkin ada di jalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan pemandu serta penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun sehingga 10 tahun serta denda minimum RM5,000 serta maksimum RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam D Anuratha dan Kevin Lai.

Terdahulu, peguam memohon tertuduh dijatuhi hukuman ringan kerana tiada rekod jenayah selain menjadi ketua keluarga kerana isteri suri rumah manakala dua anak masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak.

Selain itu tertuduh juga didenda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar boleh dipenjara enam bulan.

Lesen memandu tertuduh turut digantung tiga tahun dan tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Bentong, Pahang.

Dalam kemalangan pada 11 Jun 2017, lapan maut termasuk enam rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong.

Kemalangan berlaku apabila treler dari arah Keratong menghala Bahau dipercayai cuba memotong motosikal membawa tong aiskrim tetapi gagal sebelum ia membrek secara mengejut untuk mengelak melanggar motosikal berkenaan.

Tindakan pemandu membrek secara mengejut menyebabkan treler ‘membuang’ lalu memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, Perodua Myvi dari arah bertentangan cuba mengelak merempuh treler berkenaan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios.

Sebuah lagi kenderaan pula iaitu Proton Exora yang dipercayai dinaiki enam sekeluarga yang datang dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak Myvi yang terbabas di hadapannya tetapi gagal lalu terperosok ke bawah treler berkenaan dan terbakar.

Mangsa yang maut ialah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51; Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13; dan Wan Nur Aiesya, 7; serta pemandu Myvi Osman Mohamed Taip, 31; dan isterinya, Rosniza Othman, 32.

Berita berkaitan

20 Disember depan tarikh perbicaraan

18 Ogos tarikh sebut semula kes

Pemandu treler didakwa [METROTV]

[UPDATE] Kebumi dalam satu liang lahad

Pemandu treler direman

7 maut, 5 daripadanya rentung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:09 PM