Izlaily Nurul Ain Hussein


MENTERI Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal memohon maaf kepada semua penduduk Pasir Gudang berhubung isu pencemaran di kawasan itu.

Beliau dengan rendah diri turut berjanji berusaha membaiki kelemahan sedia ada.

“Percayalah sebagai ketua negeri, saya sentiasa mengambil berat dan mengambil tahu perkembangan semasa di Pasir Gudang. Saya sentiasa bertanya keadaan menerusi jabatan dan kementerian berkaitan.

“Saya akui mungkin ada beberapa perkara mungkin boleh diperbaiki dan sebagai ketua kerajaan negeri, saya dengan rendah diri memohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang dan berjanji akan berusaha membaiki kelemahan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang yang diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, hari ini.

Beliau berkata, ketika pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian berada di lokasi setiap hari untuk mencari jalan penyelesaian bersama pelbagai jabatan kerajaan.

“Ketika itu juga, saya melihat sendiri keadaan kanak-kanak yang terjejas akibat pencemaran, pasukan perubatan dan sukarelawan memberikan bantuan serta bagaimana tuan-tuan dan puan-puan berdepan keadaan itu.

“Percayalah, saya faham keadaan penduduk Pasir Gudang,” katanya.

Oleh sebab itu juga, Dr Sahruddin berkata, ketika pencemaran udara berlaku pada 20 Jun lalu, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan bagi memastikan semua penduduk terjejas mendapat pembelaan sewajarnya dan keselamatan serta kesihatan pelajar terjamin.

Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa sedih dan terkilan kerana pembangunan yang dirancang satu ketika dahulu di Pasir Gudang tidak mengambil kira kelestarian dan kesan jangka panjang terhadap penduduk.

Bagaimanapun, katanya, janganlah hanya menuding jari kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Kita tidak mahu hanya menuding jari kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Oleh itu, pada hari ini kita mengambil tanggungjawab mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden ini supaya tidak terus berulang.

“Namun, perkara ini bukan boleh dilakukan sekelip mata. Ia perlu dirangka dengan komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak supaya kesannya memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Berita berkaitan

Cuba halang kereta MB

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:48 AM