Anggota Hazmat dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim. FOTO Hairul Anuar Rahim
Anggota Hazmat dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


PROSES pembersihan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, yang tercemar akibat pembuangan sisa kimia hingga menyebabkan 79 orang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sejak kelmarin akan dijalankan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerja pembersihan sungai akan tertumpu pada jarak 1.3 kilometer (km) iaitu dari tempat pembuangan sisa bahan kimia berkenaan hingga ke hilir sungai.

“Lokasi utama yang dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa kimia sudah dibersihkan. Kini, yang perlu dibersihkan adalah aliran sungai ke hilir.

“Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru semalam, semua agensi terbabit iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) sudah dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai, Pasir Gudang hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Selahudeen Abd Aziz.

Dr Sahruddin berkata, bermula hari ini, agensi terbabit melakukan pemeriksaan bagi menentukan kerja pembersihan seterusnya melantik kontraktor pembersihan profesional dan pakar dalam mengendalikan sisa bahan kimia berjadual.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat bagi mengesan dalang yang membuang sisa bahan kimia di sungai berkenaan.

“Pihak yang melakukan perkara ini, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1994, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun,” katanya.

Berita berkaitan

Pembuangan sisa bahan kimia Sungai Kim Kim: 79 dirawat

Sisa minyak cuci kapal

Pekerja kolam pula pengsan

Gas metana: Enam mangsa di ICU

Tekak loya, muntah akibat keracunan gas

Mangsa hidu gas metana stabil

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

[UPDATE] 26 masih dirawat, 3 daripadanya di ICU

'Oil boom' halang gas metana merebak

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 11:31 AM