Nor Amalina Alias


PASIR PUTEH: Bukan saja bertindak menceroboh perairan negara, malah bot nelayan Vietnam turut berlagak samseng di laut apabila bertindak agresif dengan melanggar KM Pekan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba meloloskan diri daripada penguat kuasa.

Kedegilan dan sikap biadab nelayan asing itu menyebabkan kru KM Pekan diketuai Pegawai Memerintah, Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, mengambil masa empat jam sebelum berjaya memintas bot berkenaan pada kedudukan 97 batu nautika dari Kuala Tok Bali, jam 2.40 petang, Selasa lalu.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, terdahulu KM Pekan berjaya memintas dan menahan sebuah bot nelayan Vietnam pada kedudukan 92 batu nautika dari Kuala Tok Bali pada jam 1.12 tengah hari.

“Pada masa sama KM Pekan mengesan bot berkenaan berada pada kedudukan berhampiran dan terus merapati untuk melakukan penggeledahan serta pemeriksaan.

“Namun kru bot membuang tali dan pukat ke laut. Tujuan mereka adalah supaya peralatan itu terlekat pada kipas dan menghalang pergerakan KM Pekan.

“Namun atas pengalaman kru KM Pekan taktik itu tidak berhasil. Tekong juga melakukan pergerakan berbahaya hingga bot dikendalikan tersangkut pada sisi KM Pekan, tetapi bot berkenaan berjaya dipintas akhirnya,” katanya pada sidang media di Pekarangan Pejabat APMM Tok Bali di sini, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya tidak menolak kemungkinan kru bot kedua yang bertindak agresif membuang alat navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) ke laut untuk menghilangkan bukti kedudukan bot dalam perairan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya merampas kedua-dua bot berkenaan, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan pelbagai spesies dan sotong kering seberat 60 kilogram dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Ismail berkata, semakan dilakukan mendapati 21 warganegara asing ditahan membabitkan dua tekong dan kru yang ditangkap berusia antara 17 hingga 55 tahun.

“Pemeriksaan pada bot pertama membawa kepada tangkapan seorang tekong dan dua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sementara pemeriksaan di bot kedua pula kami menahan seorang tekong dan kru. Semakan mendapati hanya empat daripada mereka termasuk tekong memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.

HASIL tangkapan laut  bernilai RM1.5 juta dirampas dalam operasi.
HASIL tangkapan laut bernilai RM1.5 juta dirampas dalam operasi.

Jelasnya, dua bot berkenaan bersama tekong dan kru dibawa ke Jeti APMM di Tok Bali untuk siasatan lanjut dan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadikan tangkapan menerusi Op Naga meningkat kepada 62 dengan 49 adalah bot nelayan Vietnam, dua bot Thailand dan 11 bot nelayan tempatan dalam tempoh 79 hari operasi dilaksanakan.

Tukar sasaran ke perairan Sabah, Sarawak

PASIR PUTEH: Pencerobohan nelayan asing terutama warga Vietnam dilihat menumpukan sasaran ke perairan Sabah dan Sarawak selepas penguatkuasaan perairan di Kelantan semakin ketat.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sering membuat tangkapan besar-besaran dan kerjasama dengan Polis Marin Thailand menyebabkan nelayan warga Vietnam kini mengubah aktiviti tangkapan ikan ke dua negeri berkenaan.

Katanya, pencerobohan ke atas perairan negara sangat serius kerana aktiviti tangkapan ikan di dalam perairan negara dilakukan hampir setiap hari.

“Kerakusan nelayan ini menangkap ikan dengan cara pukat tunda menyebabkan perairan negara mereka sudah tidak ada lagi hasil laut.

“Ini menyebabkan ratusan bot mereka terbiar dan mula mengaut hasil di perairan negara kita, malah sekarang sudah bergerak ke perairan Sabah dan Sarawak selepas banyak aktiviti mereka terjejas dengan adanya Op Naga,” katanya ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali di sini, semalam.

Beliau berkata, nelayan Vietnam turut bergerak lebih jauh ke Indonesia, Fillipina, China dan Australia.

Katanya, penguatkuasaan pelbagai pihak harus diperketat memandangkan nelayan asing seolah-olah tidak serik melakukan kesalahan kerana kompaun dan wang jaminan dikenakan mudah dibayar pemilik bot atau tauke mereka.

“Jika sabit kesalahan, bot akan disita namun tekong dan awak-awak akan dibebaskan dengan jaminan RM30,000 hingga RM60,000 yang sanggup dibayar pemilik.

“Sejak awal tahun ini kita lihat aktiviti pencerobohan nelayan asing dah semakin kurang di perairan Kelantan, ini hasil operasi yang dilaksanakan,” katanya.

Tegas guna peruntukan perundangan

KUALA LUMPUR: Apa saja bentuk rantaian kegiatan mencuri hasil sumber laut perlu dilumpuhkan segera bagi mengembalikan semula hak nelayan dan pengguna Malaysia.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu menangani isu berkenaan dengan lebih tegas menggunakan peruntukan perundangan.

Beliau berkata, jika pihak berkuasa tidak dapat membanteras kegiatan nelayan asing ini, tidak mustahil ikan diimport daripada hasil tangkapan perairan Malaysia sendiri.

“Tidak adil untuk pengguna sedangkan sumber laut kita banyak dan hasil tangkapan negara kita berkualiti tetapi oleh kerana ikan itu didaratkan di negara asing kita terpaksa import pula ikan dari luar yang sebenarnya itu adalah ikan di perairan Malaysia.

“Bukan saja pendapatan nelayan kita terjejas kerana tangkapan ikan kurang berkualiti atau semakin berkurangan tetapi pengguna juga terpaksa bayar harga ikan mahal di pasaran.

“Kesannya berangkai sebab itu sepatutnya pihak berkuasa perlu hentikan segera kegiatan berleluasa ini dan siasat betul-betul serta ambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak atau nelayan tempatan yang bersekongkol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 10:00 AM
ISMAIL  (kanan) menunjukkan dua bot nelayan asing yang  ditahan bersama 21 awak-awak, dari negara Vietnam di Pekarangan Pejabat APMM Tok Bali.
ISMAIL (kanan) menunjukkan dua bot nelayan asing yang ditahan bersama 21 awak-awak, dari negara Vietnam di Pekarangan Pejabat APMM Tok Bali.