Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Empat bot nelayan asing tidak sempat mengaut hasil perairan negara apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan, Khamis lalu.

Mereka dipercayai melakukan perjalanan selama tiga jam dari Vietnam ke perairan sebelum ditangkap APMM dengan rampasan bernilai RM1.66 juta.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot laut dalam untuk menangkap sotong berkenaan ditahan pada kedudukan 90 hingga 106 batu nautika dari muara Tok Bali, dekat sini.

Katanya, tangkapan dibuat Kapal Maritim (KM) Jujur yang sedang melakukan rondaan di sempadan Perairan Malaysia-Vietnam dalam Op Naga Barat,Op Kuda Laut dan Op Damai.

"Tangkapan membabitkan rampasan empat bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta 1,200 liter bekalan diesel.

"Tiada hasil tangkapan ditemui kerana berdasarkan rangsum (pek bekalan makanan) dan alatan menangkap ikan yang belum digunakan, kita percaya mereka baru sahaja berlabuh di lokasi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat APMM negeri di Tok Bali, di sini, hari ini.

Empat bot nelayan asing ditahan APMM. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Empat bot nelayan asing ditahan APMM. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Syed Nor Adli berkata, seramai 24 orang termasuk tekong dan kru berusia antara 14 hingga 64 tahun ditahan.

Katanya, bot pertama ditahan pada jam 6.52 petang manakala bot kedua, ketiga dan keempat ditahan sekitar jam 9.52 malam hingga 10.24 malam, hari yang sama.

Beliau berkata, APMM mengambil masa 22 jam untuk menunda kesemua bot kerana salah satu bot tahanan mengalami kerosakan.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di Perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam Gaal memasuki perairan perikanan Malaysia.

"Semua kru pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang pengenalan diri yang sah.

"APMM sentiasa agresif membanteras aktiviti jenayah laut khususnya dalam mengelakkan hasil laut negara bocor ke tangan nelayan asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 12:44 PM