TERTUDUH mengaku bersalah mencuri motosikal. FOTO Norizuan Shamsuddin
TERTUDUH mengaku bersalah mencuri motosikal. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


CALON Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan mencuri motosikal di garaj sebuah flat di Jalan Pasir Panjang, pada Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 12 tahun berasal dari Kelantan mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri Modenas Kriss II bernilai RM1,000 milik Ahmad Affandi Awang, 54, di sebuah garaj di Jalan Pasir Panjang, antara jam 7.30 malam hingga 6.30 pagi pada 25 hingga 26 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 3:49 PM