AINUL Mardhiah dilihat menutup trachy di lehernya untuk mengeluarkan suara. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin.
AINUL Mardhiah dilihat menutup trachy di lehernya untuk mengeluarkan suara. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin.
BERNAMA

AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin yang sebelum ini menderita kanser 'Germ Cell Tumor' di mulut kini sudah pandai menutup alat bantuan pernafasannya (trachy) sendiri dan mengeluarkan suara.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, melalui catatan di laman Facebook miliknya menzahirkan rasa syukur.

Katanya, penantian selama setahun lapan bulan untuk mendengar suara puteri sulungnya itu akhirnya tertunai.

"Sejak dia lahir, kami tidak pernah dengar suaranya. Alhamdulillah, budak cerdik ini sudah pandai tutup trachy sendiri dan keluarkan suara. Beginilah suara Ainul Mardhiah yang saya yakin anda semua tidak pernah dengar suaranya," tulis Ahmad Safiuddin.

Video rakaman Ainul Mardhiah keluarkan suara yang dikongsikan oleh bapanya mendapat perhatian warganet dan rata-rata mereka tidak melepaskan peluang meninggalkan komen positif dan ucapan syukur dengan perkembangan bayi itu.

GAYA rambut terbaru Ainul Mardhiah. FOTO Ihsan Ahmad Safiuddin.
GAYA rambut terbaru Ainul Mardhiah. FOTO Ihsan Ahmad Safiuddin.

Sementara itu, pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London untuk mendapatkan rawatan pada tahun lalu juga tidak melepaskan peluang berkongsi video Ainul Mardhiah mengeluarkan suara di laman Twitter peribadinya.

Dalam entri video itu, @DrAmalinaBakri berkata: "Dah reti keluarkan suara, clever girl!".

Dr Amalina yang tertarik dengan gaya rambut baharu Ainul turut berkongsi beberapa keping gambar terkini yang diterima daripada ibunya Nurul Erwani Zaidi, 25 tahun.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London pada Jun tahun lalu.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Profesor David Dunaway.

Dr Amalina dan seorang lagi doktor Malaysia Dr Julian Ong turut terbabit dalam pembedahan berisiko tinggi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:16 PM