PERIUK kera spesies Nepenthes ampullaria mudah didapati di Selangor, Johor dan Pahang. FOTO Rosdan Wahid
PERIUK kera spesies Nepenthes ampullaria mudah didapati di Selangor, Johor dan Pahang. FOTO Rosdan Wahid
Mohamad Hussin dan Mohd Rafi Mamat


“SAYA menggunakan periuk kera jenis Nepenthes ampullaria atau bahasa kampung dikenali sebagai periuk kera betina kerana senang dijumpai dan berbentuk besar.

“Spesies periuk kera itu senang diperoleh di kawasan belukar, malah ia juga senang dicuci. Biasanya, saya dapatkan bekalan daripada Orang Asli di Pahang,” kata pemilik Lemang Periuk Kera Warisan, Fairuz Mazwa Harizal, 33.

Fairuz Mazwa yang menjalankan perniagaan itu dari Puncak Alam, Selangor berkata, buat masa ini, dia mendapat stok periuk kera dari kampungnya di Segamat, Johor bagi memenuhi tempahan namun suami dan ahli keluarganya yang lain kini membuat semaian benih dan penanaman semula periuk kera supaya habitat asal tumbuhan itu tidak terganggu.

“Saya tidak menafikan wujudnya dalam kalangan pengusaha yang berlumba-lumba untuk mendapatkan periuk kera ini kerana permintaan lemang periuk kera semakin mendapat sambutan.

“Bagaimanapun, bekalan yang saya peroleh dari Orang Asli memberitahu dia akan mengambil periuk kera yang matang saja manakala yang masih kecil tidak diambil manakala pokoknya tidak diusik bagi memastikan tumbuhan itu dapat dikutip lagi tahun berikutnya.

SHAHRINNAHAR mula berniaga lemang periuk kera sejak tahun lalu.
SHAHRINNAHAR mula berniaga lemang periuk kera sejak tahun lalu.

“Sebagai peniaga bukannya saya menolak pemuliharaan tumbuhan berkenaan namun apa yang dikesalkan apabila projek pembalakan turut mengancam spesies berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas laporan yang tular di media sosial apabila pakar botani yang juga Felo Penyelidik Ekologi dan Biodiversiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad menyatakan kekecewaannya dengan Kumpulan Pencari Periuk Kera yang mengancam khazanah alam itu.

Ia berikutan kumpulan yang menggelarkan diri mereka Pencari Periuk Kera yang disiarkan dalam beberapa akhbar, baru-baru ini.

Bagi Shahrinnahar Latib, 34, berkata, dia mula mencari kelongsong periuk kera untuk dijadikan produk lemang periuk kera sejak setahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia membeli kelongsong periuk kera daripada seorang penduduk kampung namun disebabkan harganya yang semakin mahal keputusan mencari terpaksa dilakukan.

KELEBIHAN senang dicuci menjadikannya pilihan peniaga lemang. FOTO Rosdan Wahid
KELEBIHAN senang dicuci menjadikannya pilihan peniaga lemang. FOTO Rosdan Wahid

“Saya mencari kelongsong periuk kera di tepi Jalan Kuantan-Maran dekat Sri Jaya. Pokok berkenaan banyak tumbuh di kawasan lereng bukit dan semak yang berpaya.

“Saya mampu mengumpul antara 100 dan 300 kelongsong periuk kera setiap kali mencari.

“Walaupun terdapat pihak tidak senang dengan aktiviti mencari periuk kera kerana dikatakan mengundang kepupusan pokok berkenaan namun sebagai usahawan saya tetap akan meneruskan perniagaan itu,” katanya yang banyak menerima tempahan lemang periuk kera sepanjang Ramadan ini.

Bagi Latifah Abdullah, 45, isu kepupusan pokok periuk kera seolah-olah sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang kurang senang serta tidak faham.

Katanya, pokok periuk kera yang kelongsongnya dijadikan lemang periuk kera mudah didapati di kawasan berpaya di beberapa daerah negeri ini.

“Pencari kelongsong periuk kera hanya memotong bahagian tangkal bukan bertindak memusnahkan pokok berkenaan yang tumbuh secara menjalar.

“Saya kesal apabila ada pihak mendakwa pokok periuk kera akan musnah apabila kelongsong diambil secara berterusan,” katanya yang mengusahakan perniagaan lemang periuk kera sejak lebih tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:01 AM