STATUS aliff di Twitter.
STATUS aliff di Twitter.
Sudirman Mohd Tahir


BEKAS isteri penyanyi, Aliff Aziz iaitu Bella Astillah enggan mengulas mengenai status dimuat naik Aliff di Twitter, hari ini yang memberi bayangan untuk rujuk semula.

Bella, 25, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia mengambil pendekatan itu demi menjaga hati banyak pihak.

“Kalau boleh saya tak nak ulas apa-apa sebab baru lagi bercerai. Banyak hati kena jaga. Nanti orang ingat saya tak henti bagi kenyataan. Lagipun status di Twitter itu belum tentu untuk saya,” katanya yang juga penyanyi.

Awal pagi hari ini, Aliff yang dikenali dengan lagu Sayang Sayang memuat naik status di Twitter iaitu, “Ya Allah satukanlah jodoh kami. Seandainya dia bukan jodohku, jadikanlah aku jodohnya”.

Sehingga kini, status itu mendapat lebih 700 tanda suka dan dikongsi lebih 200. Status itu juga mendapat maklum balas positif peminat yang mendoakan mereka kembali bersama.

Ditanya mengenai dirinya selepas 12 hari bercerai, Bella berkata, dia bersyukur kerana diberi kekuatan untuk mengharungi semua dugaan selain mendapat sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling.

“Saya perlu kuat walau dalam apa jua situasi. Saya ada anak yang perlukan perhatian, jadi saya tidak boleh terus bersedih. Lagipun, anak adalah sumber kekuatan saya selain keluarga.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana mereka banyak membantu. Walaupun boleh dikatakan hampir setiap hari bekerja, saya okay sebab menganggap ia rezeki anak.

“Saya ingin memberikan yang terbaik untuknya. Disebabkan itu, saya perlu fokus. Saya percaya perancangan itu adalah yang terbaik,” katanya.

Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 disahkan bercerai talak satu pada 16 Mei lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 1:59 PM