Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Gerai makan segera, makanan dijual di lokasi terpencil, upah orang untuk membeli makanan dan pelbagai lagi taktik sering digunakan kaki ponteng puasa setiap kali Ramadan.

Walaupun puasa di bulan mulia ini wajib ke atas semua umat Islam selain ganjarannya amat besar namun masih ramai yang culas berpuasa, daripada golongan remaja hingga ke warga emas.

Bukan setakat tidak malu, malah ada yang sengaja ke restoran milik bukan Islam untuk menjamu selera.

Ikut temu bual Wartawan Metro Ahad, NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo SAIFUL ISKANDAR ISMAIL dan jurukamera, EZAIRI SAMSUDIN bersama Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Munir Md Salleh bagi mengupas isu ini.

Berapa ramai yang ditahan Jawi kerana tidak berpuasa sejak lima tahun lalu?

Sebanyak 87 kes individu tidak berpuasa direkodkan dalam tempoh lima tahun sehingga 2018. Ia hasil pemeriksaan Jawi di premis menjual makanan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Pemeriksaan dilakukan di bawah Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) berkaitan peruntukan Tidak Menghormati Ramadan.

Tindakan pemeriksaan ini bagi memastikan umat Islam menjaga kesucian agama serta institusinya sepanjang Ramadan.

Ada jabatan agama menggunakan pendekatan mengarak individu tidak berpuasa dalam van jenazah. Apakah cara ini dianggap berkesan?

Setiap negeri mempunyai peruntukan undang-undang dan pendekatan tersendiri dalam menangani isu terbabit.

Dalam konteks ini, Jawi menggunakan pendekatan Rahmah berteraskan prinsip Maqasid Syariah melalui kaedah penerangan.

Sebab itu kebelakangan ini, Jawi banyak turun padang memeriksa premis bagi memberi penerangan kepada pemilik kedai, pengunjung dan sesiapa saja yang dirasakan perlu diberikan penjelasan.

Seterusnya pemantauan yang diikuti dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada. Kami di Jawi komited dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah dari semasa ke semasa.

Alasan tidak masuk akal diberi individu tidak berpuasa dan bagaimana Jawi menangani masalah ini?

Berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib ke atas umat Islam. Bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila masih ada yang mengambil mudah dengan tuntutan ini.

Dalam Islam, terdapat Rukhsah iaitu kelonggaran berbuka oleh seseorang atas sebab-sebab tertentu seperti bermusafir, tapi dengan syarat mereka mengikut hukum iaitu diwajibkan mengganti semula puasa berkenaan.

Tapi dalam isu ini, ada yang sanggup menyalahgunakan kelebihan Rukhsah dengan sengaja tidak mahu berpuasa. Jelas perbuatan mereka itu salah di sisi Islam.

Rukhsah juga tidak boleh dijadikan alasan kepada seseorang untuk makan di tempat awam pada bulan Ramadan.

Jika tidak mereka boleh dikenakan undang-undang mengikut Seksyen 15, Akta 559.

Oleh itu, mereka yang mempunyai keuzuran syarie tidak boleh makan di khalayak ramai atau di tempat awam.

Jika ia berlaku, Jawi akan menggunakan peruntukan undang-undang itu sebelum mensabitkan seseorang atau individu dengan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan.

MUNIR Md Salleh, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
MUNIR Md Salleh, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Apa usaha yang Jawi lakukan untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan berpuasa?

Antara usaha dilaksanakan Jawi adalah mengenai kepentingan berpuasa dan menghormati bulan Ramadan kepada masyarakat melalui khutbah Jumaat, kempen kesedaran, ceramah atau kuliah agama yang disampaikan di masjid, surau serta melalui saluran media.

Baru-baru ini, pegawai Jawi ada mengunjungi premis menjual makanan yang dilaporkan dalam media sosial dengan menyantuni mereka.

Kami memberikan bahan pelekat dan notis untuk mengingatkan mereka yang culas berpuasa mengenai kepentingan menjaga diri dan melaksanakan ibadat puasa sebagai tuntutan.

Adakah hukuman sedia ada bagi mereka yang ponteng puasa itu tidak cukup berat?

Undang-undang digubal bagi mendidik dan mencegah masyarakat Islam daripada melakukan perbuatan bercanggah dengan syariat Islam.

Walaupun pelaksanaan undang-undang syariah itu penting bagi menghukum mereka yang bersalah, Jawi turut mengambil pendekatan mendidik masyarakat sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan.

Oleh itu, pendekatan hukuman (penguatkuasaan) adalah jalan terakhir bagi sesuatu kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 9:31 AM