AZAR bersyukur rezeki watak antagonis. FOTO: Khairul Ahzar Ahmad
AZAR bersyukur rezeki watak antagonis. FOTO: Khairul Ahzar Ahmad
Ardini Sophia Sina


NAMA Azar Azmi mulai menjadi sebutan selepas dia melakonkan watak Fatimah menerusi drama bersiri Pujaan Hati Kanda. Siapa sangka, watak wanita psiko itu memberikan impak besar pada kerjayanya.

Kini, Azar diberi tanggungjawab melakonkan watak Juita menerusi drama bersiri terbaharu, Nur 2 dan dia sama sekali tidak kisah jika lakonannya nanti bakal dikecam penonton serta peminat siri berkenaan.

Azar berkata, sejak awal lagi dia sudah sedia berhadapan dengan situasi itu. Malah, hasil perkongsian gambar dan video di sebalik tabir sepanjang penggambaran drama itu pun sudah ramai yang melemparkan kecaman.

“Kalau mahu kecam, kecamlah. Belum mula tayang pun orang sudah mula kecam. Saya anggap segala kecaman itu sebagai tanda kejayaan melakonkan watak yang diberikan.

“Berlakon kayu pun orang kecam, berlakon bagus pun orang tetap kata macam-macam. Situasi seperti ini memang tidak boleh dielakkan pun. Berlakon dalam mana-mana drama pun pasti akan berhadapan perkara seperti itu.

“Kalau saya takut dengan kecaman, dari awal lagi tidak terima tawaran untuk membawakan watak Juita. Walaupun gementar melakonkan watak itu, saya sedia dikecam,” katanya. Berpakaian seksi serta perkongsian babak panas ketika Juita dan Ustaz Adam dalam kereta mengundang pelbagai reaksi serta pandangan umum. Malah, ada yang kurang bersetuju dengan cara pemakaian Azar yang terlalu seksi.

Ada segelintir pihak menganggap Azar seolah-olah dieksploitasi demi menjayakan watak Juita. Azar yang membawakan watak sebagai pelacur itu bagaimanapun ada pendapat sendiri.

“Saya tidak rasa diri saya dieksploitasi pun. Ada yang saya tonjolkan dalam drama itu hanya sekadar tuntutan watak. Saya bawakan watak sebagai pelacur, takkan saya pakai baju kurung untuk bawa watak itu. Bagi saya, kalau mahu melakonkan sesuatu watak itu, biarlah lakukan dengan realistik. Kalau jadi orang miskin, biar betul-betul nampak miskin tanpa solekan. Saya tidak akan melakonkan sesebuah babak itu kalau saya sendiri tidak selesa.

“Apa yang dilihat dalam televisyen itu tidak sama ketika kami menjalani penggambaran. Kita perlu ingat, dalam setiap babak ada teknik kamera yang digunakan untuk menghidupkan jalan cerita. Malahan, babak dalam kereta itu pun sebenarnya ada alas pada di bawah,” katanya.

Tidak dinafikan, penonton lebih kenal dan ingat Azar apabila melakonkan watak antagonis. Tawaran watak yang diberikan juga menjurus pada watak jahat.

Namun, tidak ada kebimbangan buat pelakon itu jika watak yang diberikan terhad pada watak sedemikian saja. Baginya, jika sudah tertulis rezekinya sedemikian, dia terima dengan hati terbuka.

“Saya tidak kisah pun kalau selepas ini saya banyak diberikan tawaran berlakon watak jahat. Bagi saya, kalau sudah tertulis perjalanan seni saya begitu, saya tidak menolak.

“Saya akan bawakan setiap watak itu sebaik mungkin. Walaupun hanya dikenali sebagai pelakon watak antagonis, saya tidak kisah. Itu adalah rezeki dan saya perlu bersyukur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 5:30 AM