YOUNG Syefura (kanan) sah bercerai dengan suaminya Muhammad Masyhur di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
YOUNG Syefura (kanan) sah bercerai dengan suaminya Muhammad Masyhur di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Murni Wan Omar


“KAMI tiada sefahaman dan segala usaha untuk selamatkan perkahwinan masih gagal,” kata Muhammad Masyhur Abdullah, 32, sebelum melafazkan cerai talak satu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali Rara, 30.

Muhammad Masyur berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah berhubung permohonan cerai yang difailkan terhadap Rara.

Menurutnya, selepas perbincangan dibuat mereka memutuskan untuk teruskan dengan penceraian.

Sementara itu Rara ketika ditanya bersetuju untuk mereka bercerai.

Sebelum melafazkan cerai, Hakim Syarie Mohd Saifullah meminta pasangan itu bersalaman dan Rara mencium tangan Muhammad Masyur.

Melihat keadaan itu Hakim Syarie Mohd Saifullah berkata kepada Muhammad Masyur: “Macam ok saja? Mahu berbincang semula?”

Muhammad Masyur bagaimanapun hanya tersenyum.

Selepas Muhammad Masyur melafazkan cerai terhadap Rara, Hakim Mohd Saifullah merekodkan penceraian dan memerintahkan Rara menjalani tempoh edah selama tiga bulan.

Mahkamah juga menerintahkan perakuan nikah mereka dibatalkan dan mereka perlu mendaftarkan penceraian itu.

Kedua-dua pasangan itu hadir bersama tanpa diwakili peguam.

Pasangan itu bernikah pada 24 September 2016 dan tidak mempunyai cahaya mata.

Permohonan cerai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 itu difailkan pada 1 Mac 2019.

Rara berkahwin dengan Muhamad Masyhur yang bekerja sebagai pengurus pelaburan pada 24 September 2016 dan sepanjang perkahwinan pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:37 PM