PENGUNJUNG yang hadir menyaksikan konsert Gegaria Fest. FOTO Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG yang hadir menyaksikan konsert Gegaria Fest. FOTO Zunnur Al Shafiq
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS empat lokasi, Gegaria Fest menggegarkan lokasi kelima iaitu perkarangan Pusat Pameran & Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur, malam tadi.

Tentunya, acara kemuncak iaitu Konsert Gegaria menerima kejutan apabila dihadiri pengunjung paling 'havoc' setakat ini.

Di konsert itu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Bittersweet dan Bunkface.

Paling mendapat sorakan padu daripada ribuan penonton adalah ketika Kugiran Masdo tampil di pentas mempersembahkan lima lagu popular mereka antaranya Selamat Tinggal Pujaan, Bunga dan Berchanda di Malam Indah.

KUGIRAN Masdo membuat persembahan pada konsert Gegaria Fest. FOTO Saddam Yusoff
KUGIRAN Masdo membuat persembahan pada konsert Gegaria Fest. FOTO Saddam Yusoff

Kugiran Masdo yang diwakili Ali Sariah selaku vokalis berkata, sambutan di sini mengejutkan.

"Kali ini, kemeriahannya berbeza. Mungkin kerana diadakan di Kuala Lumpur, ada pengunjung yang datang dari negeri berhampiran seperti Negeri Sembilan," katanya kepada Harian Metro.

Dihoskan Issey dan El Hot FM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Wani Kayrie, Faizdickie, Reen Rahim, Eyka Farhana dan ramai lagi yang membuat penampilan pada sebelah siang.

AKIM and The Majestret membuat persembahan pada konsert Gegaria Fest. FOTO Zunnur Al Shafiq
AKIM and The Majestret membuat persembahan pada konsert Gegaria Fest. FOTO Zunnur Al Shafiq

Konsert GegaRia juga turut menyaksikan kemunculan maskot karakter Ejen Ali yang mencuri tumpuan penonton.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

GegaRia Fest sebelum ini diadakan di Ipoh, Perak dan akan diikuti Seremban 2, Negeri Sembilan pada 7 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 12:49 AM