SAMPAH yang diimport dari luar negara.
SAMPAH yang diimport dari luar negara.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Malaysia tidak wajar mengimport sisa plastik disebabkan sisa bahan itu di negara ini khususnya yang mencemari laut adalah antara tertinggi di dunia.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail berkata, ketika ini kedudukan pencemaran laut Malaysia akibat sisa plastik adalah di tempat kelapan dengan China dan Indonesia mendahului.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, selain itu bukan semua sisa plastik yang diimport termasuk dari Amerika Syarikat (AS) itu boleh dikitar semula.

“Jadi persoalannya apa akan berlaku kepada sisa plastik import yang tidak boleh dikitar semula itu. Tentunya jadi sampah dan bertambahlah lagi sampah di negara ini.

“Ironinya, Malaysia belum lagi mempunyai teknologi pemprosesan bahan plastik dan kawalan pencemaran alam sekitar khususnya untuk bahan berkenaan.

“Justeru, tiada keperluan pun mengimport sisa plastik dari negara maju atau dari mana-mana negara. Risikonya sangat tinggi sekiranya berlaku lambakan sisa plastik import ini,” katanya.

Menurutnya, antara risiko itu ialah pencemaran kualiti udara termasuk bahan kimia yang dilepaskan di alam sekitar sehingga menyebabkan gangguan kesihatan manusia.

Mengulas lanjut, katanya, bahan kimia dihasilkan dari sisa plastik itu jelas mencemari udara, air dan biota tanah.

“Banyak kajian sudah menunjukkan kesan pembakaran sampah khususnya sisa plastik kepada manusia. Antaranya pencemaran kepada susu ibu. Penghasilan etil diphenyl polybrominated ether (PBDE) dan bahan anti kebakaran yang banyak terdapat di set televisyen dan komputer boleh mengubah hormon seks mengurangkan kesuburan dan membantutkan perkembangan ovari jika terdedah kepadanya secara berpanjangan.

“Itu antara yang kita bimbangkan jika berlakunya lambakan kilang-kilang memproses sisa plastik yang diimport sebab sudah ada kajian saintifik di luar negara berkenaan isu ini.

“Saya gesa supaya ada kajian segera dilakukan berhubung kesan negatif sisa plastik yang diimport masuk ke negara kita,” katanya.

Media yang memetik laporan antarabangsa Los Angeles Times dan Reuters sebelum ini melaporkan China sudah melarang import ke atas bahan buangan sisa pepejal di republik itu bulan ini.

Susulan itu, kebanyakan peniaga sisa plastik dunia seperti dari AS bertukar arah ke negara Asia Tenggara terutamanya Malaysia sehingga menimbulkan polemik rakyat negara ini termasuk aktivis alam sekitar dan cendekiawan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:00 AM