FOTO Penyanyi, Datin Alyah. FOTO Nizar Hafiz Mustafa.
FOTO Penyanyi, Datin Alyah. FOTO Nizar Hafiz Mustafa.
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN 2018 dilalui Datin Alyah dengan pelbagai kisah hati. Warna-warni kehidupan menghiasi setiap perjalanannya.

Tawa dan gembira ada ketika bersulam duka.Namun, Alyah, 37, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan tidak pernah berasa sesal separuh nyawa.

Sebaliknya, berbekalkan prinsip seorang yang berdikari membuatkan Alyah kuat untuk terus berdiri dan melangkah pergi.Bagi Alyah, apa juga masalah yang datang bukan alasan untuknya menjadi lemah, malah jauh sekali lari meninggalkan 1,001 persoalan.

Berbekalkan pengalaman hampir 20 tahun menjadi penghibur, setiap detik menjadikan Alyah anak seni yang cukup matang dalam segala hal.Alyah berkata, sebagai manusia biasa dia tidak boleh menyembunyikan perasaan dilalui.

"Sepanjang tahun ini banyak perkara berlaku dalam hidup saya.

Cuma, saya tidak suka menunjuk tetapi lebih selesa untuk simpan sendiri termasuklah kisah rumah tangga.

"Namun, kekecohan terjadi baru-baru ini berpunca daripada seorang individu yang melakukan provokasi di media sosial. Tindakannya itu seolah-olah mencabar kesabaran hingga membuatkan saya bersuara di laman sosial.

"Apa pun yang sudah berlaku biarlah berlalu. Saya tidak mahu lagi ungkit dan ingat. Lagipun saya sudah berjanji untuk tidak mahu lagi bercerita mengenai cerita peribadi. Fokus saya kini lebih kepada kerjaya nyanyian," katanya.

Alyah juga menegaskan, dia bukan individu yang lari daripada masalah. Besar mana pun ujian yang datang, dia sedia berdepan.

"Dari dulu lagi saya tak pernah lari. Saya tetap akan muncul. Tidak kira kontroversi apa sekali pun, saya sedia berdepan. Malah, dalam menjayakan persembahan pun saya sentiasa cuba berikan yang terbaik. Ia bukan alasan untuk mempamerkan nyanyian biasa-biasa. Dalam erti kata lain, saya seorang yang profesional.

"Saya juga seboleh-bolehnya menyekat masalah itu daripada menguasai diri hingga membuatkan saya down. Selalunya, kekuatan saya datang daripada orang sekeliling dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan," katanya.

Dalam pada cuba mengunci serapat-rapatnya kisah perkahwinan dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, Alyah mengakui masih ada yang cuba mengusik dan bertanya.

"Saya memang tak boleh lari daripada persoalan ini. Itu hakikat yang perlu saya terima. Alhamdulillah, ramai yang faham jika saya tak nak bercerita.

"Namun, ia bukan bermaksud hubungan kami bermasalah atau bahagia sepenuhnya. Tetapi sebaiknya saya tak buka mulut. Saya tak nak apa yang keluar daripada mulut selepas ini disalah tafsir atau mendapat persepsi berbeza.

"Ada baiknya apa yang berlaku biarlah antara saya dan suami saja tahu. Banyak saya belajar dalam kehidupan ini terutama sepanjang lapan tahun berkahwin," katanya.

Kegembiraan berganda Siapa sangka di sebalik musibah berlaku, Allah datangkan hikmah buat Alyah menerusi lagu Jutaan Purnama apabila lagu itu naik mendadak dan mendapat sambutan luar biasa.

"Selepas empat bulan dilancarkan baru lagu ini diterima baik. Pada awalnya saya hampir mengalah, tetapi tidak menjangka ia kini jadi siulan.

"Malah, ke mana saja saya pergi orang akan menyanyikan lagu ini begitu juga pada setiap persembahan. Terus hilang segala masalah yang berlaku sebelum ini. Saya menganggap kejayaan lagu ini sudah menutup semuanya," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kerjaya seninya, Alyah berkata, dia bakal muncul dengan single Meluruh, awal tahun depan.

Lagu ciptaan bersama Helen Yap dan lirik ditulis bersama Roslen Fadzil itu secara keseluruhannya menceritakan perjalanan hidupnya.

Selain itu, Alyah juga bakal muncul dengan koleksi baru kanta lekap, Eyenoon by Alyah yang dilancarkan tahun depan.

"Sebelum ini sudah ada enam koleksi. Insya-Allah tahun depan ada beberapa lagi koleksi yang dikeluarkan.

"Perniagaan baru ini diusahakan bersama rakan kongsi. Alhamdulillah, setakat ini ia mendapat sambutan. Malah saya berharap tahun depan ia lebih baik lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:00 AM