PENUNTUT tekun ketika menghasilkan motosikal.
PENUNTUT tekun ketika menghasilkan motosikal.
Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Demi memastikan projek ciptaan motosikal cub prix direalisasikan, 11 penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Politeknik Port Dickson sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk menampung kos penghasilan jentera dua roda itu.

Ternyata, pengorbanan dan kesungguhan mereka berbaloi apabila projek berkenaan menerima pengiktirafan pingat perak dalam acara Regional Student’s Product Exhibition (ReSPEx) 2018.

Ketua pasukan, Danial Amir Said Mohammed, 20, berkata, kemenangan itu adalah pencapaian cukup bermakna buat dirinya dan 10 rakan lain yang terbabit dalam projek berkenaan.

“Proses pembuatan motosikal ini mengambil masa 10 bulan bermula Januari lalu dan ia dilaksanakan hasil perbincangan bersama.

“Cabaran terbesar tentunya mendapatkan modal dan akhirnya kami sepakat menyumbang RM500 setiap seorang namun jumlah berkenaan tidak mencukupi dan terpaksa ditambah RM100 lagi menjadikan kos keseluruhan meningkat kepada RM6,600.

JENTERA motosikal cub prix ciptaan 11 penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Politeknik Port Dickson.
JENTERA motosikal cub prix ciptaan 11 penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Politeknik Port Dickson.

“Ikutkan, jumlah itu agak besar untuk kami yang masih belum bekerja namun demi memastikan projek ini diteruskan, semua berusaha mencari wang malah saya sendiri sanggup menjual aiskrim dengan hasil jualan digunakan untuk menampung kos diperlukan,” katanya yang mengagihkan tugasan mengikut kepakaran ahli pasukan.

Menurut Danial, selain wang, cabaran lain yang dihadapinya adalah mencari platform bagi menimba pengalaman sebagai kru di litar kejohanan.

Katanya, mujur ada juga pihak memberi kepercayaan untuk mereka menunjukkan kebolehan seterusnya mempraktikkan kemahiran yang dimiliki selama ini.

“Meskipun masih amatur, saya dan rakan sepasukan gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjadi kru seterusnya membantu TKKR Racing Team dalam kejohanan Cub Prix Malaysia di Tangkak, Johor, Jasin, Melaka dan Temerloh, Pahang.

11 penuntut Politeknik Port Dickson keluar duit poket sendiri cipta motosikal cub prix.
11 penuntut Politeknik Port Dickson keluar duit poket sendiri cipta motosikal cub prix.

“Menerusinya, kami berpeluang menyelenggara motosikal yang akan digunakan untuk beraksi di litar kejohanan dan walaupun tidak menerima bayaran serta bangun pada awal pagi, pengalaman ditimba jauh lebih berharga.

“Sekurang-kurangnya, kami dapat mendisiplinkan diri dan paling penting mempelajari ilmu daripada mentor iaitu Amidi Zakaria dari TKKR Racing Team serta pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Mohd Fikri Mohd Soffian,” katanya yang berharap supaya motosikal berkenaan digunakan untuk kejohanan pada masa akan datang.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Noorjihan Salamoon, 32, berkata, banyak pengalaman dan ilmu ditimba hasil pembabitannya dalam projek berkenaan.

Malah, pengalaman itu memberinya kepuasan terutama apabila dapat menghasilkan jentera motosikal cub prix bersama dengan rakan sepasukan.

“Jujurnya, ia bukan satu kerja yang mudah tetapi kami lakukannya hasil kerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:01 AM