ANTARA kereta klon yang diseludup dari Singapura ke Sabah.
ANTARA kereta klon yang diseludup dari Singapura ke Sabah.
Kalidevi Mogan Kumarappa

KUALA LUMPUR: Dua pegawai khas kepada orang kenamaan (VIP) antara individu yang dikesan menggunakan kereta klon hasil operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kota Kinabalu, Sabah.

Kedua-dua individu berkenaan dikesan masing-masing menggunakan kereta klon jenama BMW dan Volvo dalam operasi Ogos lalu.

Selain mereka mempunyai kaitan dengan VIP, kereta klon turut menarik minat ahli kumpulan kongsi gelap di Sabah yang menyangka mereka kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang jika ditangkap.

Sumber berkata, sindiket yang menyeludup kereta klon ke Sabah pada mulanya hanya menawarkan kenderaan itu kepada pihak persendirian.

Dakwanya, selepas mengetahui JPJ mempergiatkan operasi memburu kereta klon di Sabah, sindiket terpaksa mencari kabel dalam kalangan VIP yang berpengaruh.

“Ada pegawai khas VIP menjual nama bos mereka bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan apabila ditahan pihak berkuasa.

“Sudah dua individu mempunyai kaitan dengan VIP berpengaruh ditahan di Sabah setakat ini,” katanya.

Katanya, sindiket yang didalangi penduduk tempatan berasal dari Sabah dan Semenanjung itu mempunyai jaringan yang baik dan terancang bagi mengelakkan aktiviti mereka daripada diganggu pihak berkuasa.

Malah, kereta klon yang tiba di Sabah diletakkan di satu lokasi khas yang sukar dijejaki atau dihidu pihak berkuasa.

“Ada yang diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah di kondominium mewah, tak kurang pula yang dipandu ke kawasan pedalaman untuk disembunyikan.

“Berdasarkan risikan di kawasan pelabuhan, sekurang-kurangnya dua kereta klon tiba di Sabah setiap dua hingga tiga hari sekali,” katanya.

“Kekangan pegawai penguat kuasa menyebabkan JPJ berdepan kesukaran mengesan pergerakan sindiket,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 10:00 AM