CAP gesa undang-undang haram penggunaan bahan toksik jejas kesihatan. FOTO/ZUHAINY ZULKIFFLI
CAP gesa undang-undang haram penggunaan bahan toksik jejas kesihatan. FOTO/ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa membentuk undang-undang khusus bagi menghapus dan mengharamkan penggunaan plumbum dalam produk cat.

Ini berikutan ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan terutama kepada kanak-kanak dan wanita hamil sekiranya terdedah kepada bahan itu.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata, plumbum adalah bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh manusia.

Menurutnya, pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan masalah dalam pembelajaran, enggan bergaul dengan orang lain, penurunan kadar kesuburan dan meningkatkan risiko kegagalan ginjal serta masalah kardiovaskular di kemudian hari.

Katanya, sehingga kini tidak ada paras yang selamat bagi pendedahan kepada plumbum, malah ia menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar membabitkan satu perempat bebanan penyakit di seluruh dunia.

“Kesan pendedahan plumbum kepada kesihatan kanak-kanak adalah berpanjangan, sukar dipulihkan atau diubati sekiranya masuk dalam gastrousus ketika mereka mengunyah benda seperti alat mainan, perabot atau benda lain yang dicat dengan cat berplumbum.

“Kanak-kanak mudah terdedah kepada plumbum apabila bahagian permukaan yang bercat menggelupas selepas beberapa lama dan plumbum yang dibebaskan ke udara pula menjadi debu cat selain menjejaskan alam sekitar apabila dibebaskan dalam tanah.

“Mereka (kanak-kanak) berusia sehingga enam tahun yang kerap memasukkan tangan dalam mulut paling berisiko menyebabkan kepintaran dan perkembangan mental mereka mungkin terjejas apabila terdedah kepada debu dan tanah berplumbum,” katanya dalam sidang media di Jalan Masjid Negeri di sini, semalam.

Laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) melaporkan pada awal 2016, sebanyak 70 iaitu 36 peratus daripada 196 negara di seluruh dunia sudah memperkenalkan piawaian berhubung plumbum dalam cat namun di Malaysia tidak ada peraturan yang mengehadkan kandungannya bagi kegunaan isi rumah dan sebagai hiasan.

Mohamed Idris berkata, CAP pernah menjalankan kajian pada 1992 dan menemui tujuh daripada sembilan cat enamel mengandungi plumbum melebihi 600 bahagian persejuta (bps) manakala paras tertinggi plumbum yang ditemui pula ialah 11,700 bps.

Dalam ujian CAP sekali lagi pada 2016, didapati lebih 60 peratus daripada sampel yang diuji mengandungi paras plumbum terlalu tinggi.

Kajian itu mengaitkan penurunan IQ dengan penurunan dalam produktiviti ekonomi sepanjang hayat malah dianggarkan bahawa kerugian tahunan daripada sudut ekonomi di Malaysia ialah RM11.8 bilion atau 2.63 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pihak berkuasa perlu menguji dan mengharamkan produk yang mengandungi plumbum pada paras yang tinggi selain menjalankan kempen pendidikan bagi melahirkan kesedaran mengenai bahaya bahan itu.

“Tanpa pengharaman, Malaysia akan menjadi tempat longgokan produk dengan paras plumbum tinggi yang pada hakikatnya sudah ditolak oleh negara lain dan memandangkan plumbum boleh meninggalkan kesan buruk kepada kanak-kanak, langkah segera perlu diambil demi kesihatan generasi masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:00 AM