Norza berswafoto bersama Chong Wei ketika melawatnya pagi tadi. FOTO Ihsan LCW/Norza Zakaria
Norza berswafoto bersama Chong Wei ketika melawatnya pagi tadi. FOTO Ihsan LCW/Norza Zakaria
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mendedahkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin ceria sejak kembali ke tanah air hujung minggu lalu.

Norza yang berkunjung ke rumah bekas pemain nombor satu dunia itu pagi tadi mengakui lega apabila dapat melihat sendiri keadaannya yang semakin pulih.

"Pagi tadi saya sempat bersarapan bersama Chong Wei di rumahnya dan kelihatan dia kehilangan berat badan lebih kurang empat atau lima kilogram.

"Tetapi apa yang penting Chong Wei semakin pulih dan nampak ceria bersama keluarga," katanya kepada Sukan NSTP.

Norza berkata, Chong Wei bagaimanapun tidak akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

"Menurut nasihat doktor, beliau perlu menunggu dua hingga tiga minggu lagi sebelum boleh berjumpa orang ramai memandangkan sistem imunisasi (daya tahan) badannya masih belum kuat. Buat masa ini kita beri peluang kepadanya untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Mengenai perbincangannya bersama Chong Wei dalam pertemuan itu, Norza berkata, beliau tidak ada berbincang mengenai masa depan pemain itu yang sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama.

"Saya tidak berniat untuk berbincang tentang perkara itu (masa depan Chong Wei) kerana tujuan saya pagi ini adalah mahu melihat keadaan beliau. Saya gembira melihat keadaannya berbanding sebelum ini ketika rawatan.

"Buat masa ini kita beri peluang kepada Chong Wei untuk berehat," katanya.

Norza berkata Chong Wei bagaimanapun masih mengikuti perkembangan skuad negara dalam beberapa kejohanan yang disertai dan memberikan pendapatnya.

Pemain berumur 36 tahun itu baru kembali dari Taiwan selepas hampir dua bulan menjalani rawatan kanser hidung tahap pertama pada hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:40 PM