KEMALANGAN kereta dengan sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN kereta dengan sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


“ADIK janji akan buat yang terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan, namun tuhan lebih menyayanginya,” kata Aishah Samsudin, 19, kakak kepada Muhammad Amirul Fahmi, 12.

Muhammad Amirul Fahmi, adalah murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Beluru, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh - Taiping, berhampiran Kampung Jamuan di Kuala Kangsar bersama dua rakan sekampungnya yang juga adik-beradik

Dua beradik yang maut adalah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya Muhammad Asyraf, 27.

Dalam kejadian 8 malam itu, kereta Nissan Sunny dinaiki tiga mangsa yang berasal dari Kampung Beluru, di sini terperosok bawah treler yang memasuki laluan bertentangan sebelum diseret ke dalam parit di tepi jalan.

Aishah berkata, keluarganya mengetahui mengenai kejadian apabila seorang jiran datang ke rumah dan memaklumkan ayahnya pada 9.30 malam.

“Susulan mendapat berita itu saya bersama ayah terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kami dapati kereta masih berada di bawah treler berkenaan.

“Pilu hati apabila melihat ayah menangis di lokasi kejadian susulan pemergian adik bongsu saya itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah adiknya itu keluar rumah pada 5.30 petang dijemput dua rakan sekampungnya itu dan difahamkan mereka ingin ke pekan Kuala Kangsar.

“Adik ada minta duit dengan emak sebelum keluar rumah dan mengatakan ingin ke pekan, namun sehingga 9 malam mereka tidak pulang.

“Ayah ada menyatakan perasaan tidak sedap hati kerana biasanya adik jarang pulang lewat jika keluar rumah dan kerisauan itu ternyata benar apabila jiran datang ke rumah memberitahu adik terbabit kemalangan,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada dua beradik yang maut, Hamdan Al Fikri Mat Baki, 57, berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian, 9 malam daripada seorang anaknya.

“Kebetulan ketika itu saya berada di Kuala Kangsar dan sedang memandu lori untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

“Sebaik terima maklumat saya terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba saya hanya mampu istighfar apabila mendapati kereta saya yang dipandu anak remuk keseluruhannya dan masih terperosok di bawah treler,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, Muhammad Asyraf adalah anak ketiganya yang juga pemandu lori, manakala Muhammad Irfan pula yang bongsu daripada tujuh beradik dan baru pulang dari sekolah di Pulau Pangkor sempena cuti Hari Malaysia.

Hamdan berkata, ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kampung Beluru selepas dituntut kira-kira 8 pagi ini.

Berita berkaitan

''Tiga maut dirempuh treler''

[UPDATE] Tiga maut termasuk dua beradik

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 10:22 AM