Catatan FB Muhammad Haris mengenai arwah bapanya, Ismail Yaacob.
Catatan FB Muhammad Haris mengenai arwah bapanya, Ismail Yaacob.
Shahrinnahar Latib


"ALLAH pinjamkan mereka dan Allah ambil balik pinjamanNya, sebagai orang yang beriman, aku memang reda tetapi hati dan tangisan tidak boleh ditipu."

Demikian catatan pada status Facebook (FB) Muhammad Haris, anak kepada Ismail Yaacob, 53, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, hari ini, selepas terbabit kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong, Perak, kelmarin.

Kemalangan itu juga menyebabkan tiga adiknya, Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah yang masing-masing berusia lapan tahun serta Nur Ain Hafizah, 22, maut di tempat kejadian.

Muhammad Haris berkata, Allah SWT mengambil nyawa empat ahli keluarganya dalam tempoh sangat singkat.

"Aboh orang yang baik...Aboh orang yang paling kuat tekankan kami bab solat... Walaupun aku dah besar panjang, aboh tetap tidak jemu-jemu berpesan supaya jangan tinggalkan solat.

"Aboh dah terlepas tanggungjawab...sekarang tinggal aku dan abang yang akan jaga satu satunya adik yang tinggal dan ibu," katanya melalui status FB, hari ini.

Katanya, bapanya meninggal dunia pada 1.40 pagi, hari ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan.

"Kemungkinan jenazah sampai di Kuantan selepas Asar hari ini, semoga dipermudahkan segala urusan. Semoga roh aboh dan ketiga-tiga adik ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi kelmarin, kemalangan itu dikatakan berlaku selepas sebuah treler dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek melanggar keempat-empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat simpang empat berhampiran MRSM Lenggong.

Semalam, tiga adik Muhammad Haris dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin kira-kira 12 tengah hari selepas dibawa dari Hospital Gerik.

Berita berkaitan

Ayah pula 'pergi'

'Saya lihat bayangan anak-anak melambai pergi'

Kembar, kakak, macam anak sendiri [UPDATE]

Nampak treler seret Nissan Sentra [UPDATE]

[UPDATE] Pasangan kembar antara yang maut

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 12:12 PM