Nurul Hidayah Bahaudin


RAKAMAN video memaparkan beberapa bahagian dalam kapal mewah ‘Equanimity’ sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor didapati tular di media sosial, hari ini.

Video berdurasi satu minit 40 saat itu dipercayai dirakam oleh seorang lelaki yang bercakap menggunakan dialek Utara.

Dalam video berkenaan memaparkan bahagian dek dan anjung kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Turut kelihatan beberapa individu yang juga pihak berkuasa sedang meninjau kapal berkenaan dalam rakaman video itu.

Sementara itu, usaha NSTP mendapatkan pengesahan berhubung rakaman video itu daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Jeremy Joseph tidak berjaya apabila mereka gagal dihubungi.

Sebelum ini, dalaman kapal itu didakwa dihiasi dengan daun emas dan marmar, spa dan sauna, kolam renang 20 meter di dek, panggung wayang, lif dan helipad.

PETIKAN rakaman video bahagian dalaman kapal mewah Equanimity yang tular di media sosial. FOTO Tular
PETIKAN rakaman video bahagian dalaman kapal mewah Equanimity yang tular di media sosial. FOTO Tular

Jeremy sebelum imi dipetik berkata, bahagian dalaman kapal mewah itu dihiasi pelbagai kekemasan kayu dan marmar diperbuat dari dalam serta luar negara.

Menurutnya, seramai 16 individu daripada pasukan khas Jabatan Peguam Negara juga perlu memakai sarung kasut bagi memastikan bahagian dalaman kapal itu tidak calar atau rosak.

Terdahulu, kapal mewah itu berlabuh di Pelabuhan Klang jam 1 tengah hari semalam, selepas berlayar hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

NSTP sebelum ini melaporkan kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:52 PM