Bomba menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO NSTP
Bomba menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat perancang kewangan maut dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari memaklumkan mengenai kejadian kebakaran di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Mutiara Homes.

Katanya, 13 anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara tiba di lokasi kejadian pada jam 12.46 tengah hari.

“Sebaik sampai, anggota dan pegawai mendapati sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan sedang terbakar.

“Api berjaya dikawal satu minit kemudian dan di dalam bilik itu, pasukan bomba menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rizal berkata, mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dari bilik berkenaan dan disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berseorangan di dalam bilik di tingkat atas, manakala isteri serta anak lelakinya berada di ruang tamu di tingkat bawah.

Punca kematian mangsa belum dapat dipastikan dan kerja-kerja bagi menyiasat punca kebakaran masih dijalankan pihak bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 6:00 PM