KAWASAN luar kediaman di Kampung Tengah Layang-Layang, Kluang.  Gambar kecil, pasangan warga emas, Muzairah Md Dasan,(kiri), dan Mahmad Darwis ceria dengan hiasan dalaman baru. FOTO NSTP
KAWASAN luar kediaman di Kampung Tengah Layang-Layang, Kluang. Gambar kecil, pasangan warga emas, Muzairah Md Dasan,(kiri), dan Mahmad Darwis ceria dengan hiasan dalaman baru. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Aidilfitri kali ini begitu istimewa buat pasangan warga emas Muzairah Md Dasan, 65, dan Mahmad Darwis, 69, kerana kediaman mereka diceriakan dengan hiasan dalaman baru sebagai hadiah kejutan daripada anak serta menantu.

Kediaman usang berusia lebih 50 tahun terletak di Kampung Tengah Layang-Layang, Kluang, Johor itu kelihatan lebih ceria sebulan sebelum menjelang Aidilfitri hasil sentuhan enam anak dan menantu pasangan itu.

Anak keempat pasangan itu, Afzainizam, 36, kini menetap di Shah Alam, Selangor, berkata, mereka semua mengambil masa bertungkus-lumus selama dua hari sebelum ketibaan Ramadan untuk menghias rumah terbabit.

Katanya, mereka semua melakukan perancangan untuk menghias rumah peninggalan arwah datuknya itu sejak dua bulan lalu dan bersyukur kerana perancangan mereka menjadi.

TUGAS dekorasi rumah berusia 50 tahun giat dilakukan. FOTO NSTP
TUGAS dekorasi rumah berusia 50 tahun giat dilakukan. FOTO NSTP

“Kami adik-beradik pada mulanya berbincang untuk membelikan hadiah buat emak sempena Hari Ibu namun abang sulung tiba-tiba beri cadangan agar rumah ini dihias untuk beri wajah baru.

“Rumah ini kosong kerana kami semua termasuk emak dan ayah hanya pulang untuk berkumpul di kampung jika ada majlis kenduri atau sambutan perayaan seperti Aidilfitri sahaja.

“Emak dan ayah sendiri tinggal di Pandan Indah, Ampang. Meskipun usia rumah itu sudah lebih 50 tahun kami anak-beranak pasti pulang ke kampung untuk berkumpul terutama pada 1 Syawal,” katanya.

Menurutnya, bagi menjayakan perancangan itu mereka membuka kumpulan WhatsApp khusus untuk membincangkan mengenai jenis ubah suai, perhiasan yang sesuai selain pembahagian tugas.

GAMBAR selepas siap dekorasi rumah peninggalan datuk di Kluang, Johor. FOTO NSTP
GAMBAR selepas siap dekorasi rumah peninggalan datuk di Kluang, Johor. FOTO NSTP

“Niat kami cuma mahu emak dan ayah rasa gembira menyambut Aidilfitri dalam suasana baru dan mahu mencipta mood kemeriahan raya tahun ini memandangkan emak sebelum ini kurang sihat sudah beransur baik.

“Setiap orang ada bahagian tugas masing-masing termasuk mengumpul wang, membeli barang, membuat lakaran dekorasi, menguruskan pengangkutan dan menjaga kanak-kanak selama dua hari kami bertungkus-lumus di kampung,” katanya.

Katanya, mereka memilih konsep gabungan vintaj retro moden untuk menceriakan dalaman rumah lama itu dengan bajet minimum sebanyak RM2,400.

“Kami tidak keluarkan bajet yang banyak kerana dalam rumah itu sudah ada banyak barang dan perabot lama kesayangan emak, jadi kami cuma perbaiki mana yang ada serta beri nafas baru saja.

“Dengan bajet sebanyak itu kami membeli barangan keperluan penting termasuk cat, tikar getah, langsir, lampu hiasan dan beberapa barangan hiasan tambahan,” katanya.

DEKORASI rumah peninggalan datuk di Kluang, Johor.  FOTO NSTP
DEKORASI rumah peninggalan datuk di Kluang, Johor. FOTO NSTP

Pereka grafik itu berkata, mereka memanfaatkan masa cuti dua hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menyiapkan kerja-kerja dekorasi berkenaan.

“Paling terharu emak mengucapkan terima kasih dan sempat mengucup kami adik beradik kerana menghadiahkannya dekorasi hiasan rumah sedemikian rupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 9:37 AM