Keluarga Sufian sudah merisik Elfira. FOTO fail HM
Keluarga Sufian sudah merisik Elfira. FOTO fail HM
Georgie Joseph


PELAKON Elfira Loy, 23, tidak faham dengan tindakan segelintir netizen yang mempersoalkan keputusannya memilih penyanyi Sufian Suhaimi, 25, sebagai calon suami selain mendakwa mereka tidak serasi.

Elfira berkata, dia memilih Sufian atas pelbagai faktor walaupun baru mengenali penyanyi lagu Terakhir itu tahun ini.

Menurutnya, tiada sebab untuk dia melengahkan hubungan itu, malah mereka juga merancang untuk melangsungkan pernikahan tahun depan.

"Kenapa perlu lengahkan sesuatu perhubungan apabila kedua-dua pihak berasa selesa dan keluarga pun merestui? Saya rasa sudah tiba masanya untuk melanjutkan hubungan ini daripada bercinta lima hingga enam tahun dan apa-apa boleh berlaku ketika itu.

"Saya sudah bersedia dan sepatutnya semua wanita pun perlu berbuat demikian apabila tiba masanya," katanya.

Elfira juga menyelar dakwaan mengatakan Sufian terlalu muda dan dia sepatutnya boleh mendapatkan calon suami yang lebih sesuai untuk dirinya.

"Barang kali mereka melihat Sufian masih remaja tetapi dia sebenarnya sudah matang. Mereka belum bercakap dengannya dan mengetahui bagaimana corak pemikirannya," katanya.

Elfira berkata, mereka merancang untuk berkahwin tahun depan dan bukannya tahun ini seperti dikatakan segelintir pihak.

Keluarga Sufian merisik Elfira pada 1 Julai lalu selain menghadiahkannya sebentuk cincin sebagai simbolik majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 7:52 PM