PELUANG bekerja dengan pengarah, jurukamera dari Jerman satu pengalaman berbeza.
PELUANG bekerja dengan pengarah, jurukamera dari Jerman satu pengalaman berbeza.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Ramai memuji lakonan Maya Karin, 35, dalam filem terbarunya, Nota arahan Yasu Tanaka. Baik daripada pelakon gandingan, Hans Isaac mahupun pengarahnya yang mengakui Maya pilihan tepat.

Maya mengaku teruja menantikan tayangan Nota selepas agak lama tidak tampil dengan filem baru selepas Sejoli dan Lagenda Budak Setan 3: Kasyah tahun lalu.

Katanya, Nota mempunyai sisi berlainan dari segi pembikinan dan penulisan skrip.

Bintang Ombak Rindu itu berkata, dia tertarik menerima tawaran berlakon filem Nota kerana peluang bekerja dengan pengarah dan jurukamera luar.

“Memang saya teruja sebab dapat bekerja dengan Yasu dan pengarah fotografi dari Jerman. Bekerja dengan pengarah bukan tempatan memang 100 peratus lain.

“Skrip datang dalam bentuk ‘storyboard’, dia tahu apa yang dia mahukan dan tak perlu bereksperimen macam sesetengah pengarah yang kadang kala tak pasti apa ‘shot’ mereka mahukan.

“Bezanya, cara pengarahan begini tidak memberi ruang kepada pelakon untuk ‘explore’ lakonan mereka, lalu ia menjadi lebih serius,” katanya.

Pelakon kacukan Melayu-Jerman ini sejak dulu sukakan filem dari Jerman yang disifatkan mempunyai cara tersendiri sehinggakan dia tahu filem itu hasil pengarah Jerman atau tidak hanya berdasarkan kerja kamera mereka.

Untuk filem ini, Maya dituntut berlakon tanpa dialog panjang. Baginya, situasi itu tidak menjadi isu besar kerana sudah dilatih sedari awal menjejakkan kaki ke dunia lakonan tempatan.

“Tak susah pun sebab dah biasa buat macam ini. Dari awal kemunculan memang saya sudah dibentuk untuk bermain dengan lebib banyak ekspresi berbanding berdialog.

“Mungkin untuk lima filem pertama saya dilakukan demikian kerana bahasa Melayu saya agak teruk. Jadi, terpaksalah tekankan lakonan pada segi ekspresi untuk pastikan saya boleh bawa mesej yang ingin disampaikan.

“Kalau tidak bermain dengan ekspresi dan hanya berdialog panjang berbahasa Melayu, saya mungkin boleh jadi malas badan, lakonan pada mulut saja tapi muka tidak jelas,” kata­nya.

Kata Maya, ada pihak luar yang suka memperlekeh kerjaya pelakon yang menganggap berlakon sekadar tayang muka saja.

Walhal katanya, berlakon perlu ada kemahiran tertentu dan bukan setakat membawa dialog dalam kepala kemudian diluahkan apabila ia diperlukan.

Disebabkan itu, seorang pelakon harus sentiasa perbaiki kemahiran dan mempelajarinya melalui buku dan pengalaman.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 melalui Pontianak Harum Sundal Malam itu akui disebabkan latihan dan pengalaman lalu, lakonannya dalam filem Nota mencapai kehendak pengarah.

“Bekerja dengan Yasu sangat mudah dan persediaan untuk filem juga terperinci. Kami bekerjasama selama sebulan, hari-hari ada sesi baca skrip dan pemahaman watak.

“Pengalaman berlakon di Bako agak memenatkan sebab di sana fasiliti serba ringkas. TV, air panas dan isyarat telefon tidak ada.

“Saya pernah lalui sebelum ini ketika me­ngembara tapi beza­nya, di sana saya bekerja 10 jam sehari,” katanya.

Filem Nota mengisahkan sepasang suami isteri, Kamal (lakonan Hans Isaac) dan Erin (Maya Karin) berdepan masalah rumah tangga selepas 10 tahun berkahwin.

Kamal mempunyai hubungan sulit dengan sahabat Erin, Mayumi dan wanita itu mengandung anak suaminya.

Ketika bercuti di Taman Negara Bako, Erin hilang arah lalu membunuh Kamal dan Jemat, pemandu bot pelancong. Malah dia juga mula membunuh Mayumi sekembalinya ke Kuala Lumpur.

Filem itu turut dibintangi Allahyarham Ramli Hassan dan pelakon Jepun, Rin Izumi menemui penonton di pawagam pada 13 Ogos depan.

Maya akui 2015 lebih kepada tahun promosi kerana sudah bekerja keras untuk dua tahun kebelakangan ini. Selain Nota, satu lagi filem lakonannya, Jwanita bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Dia juga dalam merangka promosi album ketiga, Teka-Teki dan single terbaru yang turut dimuatkan dalam album itu berjudul Tersenyum.

Kata Maya, selepas tayangan perdana filem Nota Selasa lalu, dia terbang ke Brunei untuk memenuhi jemputan menjayakan persembahan. Pada September depan, Maya akan ke Melbourne, Australia untuk jayakan persembahan lain pula.

Malah sejak dilaporkan bergelar jutawan kerana memiliki aset bernilai RM8 juta di dalam dan luar negara, dia dilihat sangat sibuk terbang Kuala Lumpur dan London, hampir setiap bulan.

“Masa awal memang seronok tapi sejak akhir-akhir ini sudah mulai penat. Tahun lalu hampir setiap bulan tapi tahun ini rasanya baru tiga kali ke sana,” kata Maya enggan komen lanjut mengenai status jutawan hartanah.

Maya dilaporkan mempunyai lapan aset hartanah termasuk satu di London dan dua di Malaysia. Hasil pelaburan bijak ini menjadikan separuh pendapatan tahunannya melalui sewa beli sahaja. Satu contoh terbaik untuk artis tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:03 AM