MOHAMMAD Azri Abdullah (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya sambil ditemani ahli keluarga. FOTO Supian Ahmad
MOHAMMAD Azri Abdullah (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya sambil ditemani ahli keluarga. FOTO Supian Ahmad
Sarah Zulkifli

sarah @nstp.com.my

BEKAS peserta Akademi Fantasia (AF) musim ke-9, Mohammad Azri Abdullah dipenjara 14 hari dan didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Azri, 31, yang juga suami kepada bekas juara program Mentor musim kelima, Salma Andi-Asis, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah semalam, pada hari pertama perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung.

Mahkamah memerintahkan Mohammad Azri menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Selepas hukuman diberikan, Azri dan semua ahli keluarganya, termasuk ibunya dan Salma menangis teresak-esak sambil memeluk lelaki itu di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berumur 11 tahun itu dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas di pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, di sini, 8 pagi, pada 5 Mei 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya VV Suloshani manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:29 PM