KUNCI utama Dong Won bertahan selain suka belajar apa saja perkara baru.
KUNCI utama Dong Won bertahan selain suka belajar apa saja perkara baru.
Georgie Joseph


Nama Gang Dong Won mungkin tidak didendang sebagaimana pelakon hebat Korea Selatan yang lain seperti Gong Yoo dan Lee Byung Hun, namun dia tetap berada dalam kelas tersendiri.

Mula mencipta nama lebih 15 tahun lalu, pelakon berusia 37 tahun ini lebih senang memilih untuk mencuri perhatian menerusi bakat lakonannya. Dia tidak kisah dengan populariti diraihnya.

Apa yang penting, pendekatan itu berkesan apabila nama Dong Won terus mekar dan menjadi pilihan membintangi pelbagai filem.

Dia pilihan yang tepat jika syarikat produksi mahukan bakat dan bukan populariti semata-mata.

Dong Won dalam temu bual bersama Bling! baru-baru ini berkata, populariti pasti datang seiring dengan usaha keras yang ditunjukkan dalam kerja sebelum dinilai khalayak.

“Saya rasa tiada seorang pun di Korea Selatan yang berfikir seseorang yang popular itu serta-merta menjadikannya artis yang bagus. Pelakon adalah pekerjaan yang sangat istimewa dan jika dia popular, lebih banyak peluang akan datang kepadanya.

“Bagaimanapun, ia tiada kaitan dengan dakwaan popular bermakna sangat bagus. Saya juga mahu menjadi pelakon yang mengagumkan dan masih berusaha ke arah itu,” katanya.

Dengan rendah diri, pelakon filem Golden Slumber, A Violent Prosecutor dan Master itu mengakui kunci utama dia bertahan dalam bidang lakonan adalah kesungguhan yang berterusan.

Itulah yang diterapkan dalam diri dan sudah dipraktikkan sejak awal pembabitannya sebagai model pada awal 2000.

“Ketika bermula sebagai model lebih 18 tahun lalu, saya memutuskan untuk mengambil kelas lakonan. Dari situ, saya dapat berasakan memang boleh menjadi pelakon suatu hari nanti.

“Jadi, saya curahkan kesungguhan berbanding pelajar lain. Saya tidak pernah langsung ponteng kelas disebabkan dapat rasakan lakonan adalah pekerjaan yang akan dilakukan hingga hari terakhir saya,” katanya.

Walaupun sudah dilabel sebagai pelakon senior yang hebat, Dong Won masih terus belajar.

Baginya, proses pembelajaran itu tidak akan berkesudahan dan dia tidak malu mempelajari sesuatu daripada sesiapa pun termasuk sahabat sendiri.

“Saya suka belajar apa saja perkara baru dan bincangkannya dengan kawan. Contohnya mengenai isu politik dan sosial, ia membantu meluaskan fikiran memandangkan saya seorang yang berfikiran terbuka.

“Begitu juga apabila mendapat watak, saya akan mendalaminya dengan teliti. Jika ia watak mengenai pekerjaan atau sejarah, kajian perlu dilakukan dengan cukup. Jika diberikan watak aksi, saya akan berlatih dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Menurut pemenang Star Asia Award di Filem Festival Asia New York 16 (NYAFF16) ini, secara keseluruhannya industri lakonan di Korea Selatan memerlukan seseorang yang memiliki kesungguhan tinggi.

“Pertama, kami ada sokongan peminat yang luar biasa. Mereka adalah nadi untuk filem Korea Selatan terus maju.

“Walaupun hanya dengan bajet kecil, kami akan tetap bersungguh-sungguh menghasilkan yang terbaik. Itulah budaya kerja kami,” katanya ketika ditanya kenapa filem Korea Selatan sering mendapat pujian.

Tak perlu ada laman sosial

Walaupun popular, Dong Won enggan mewujudkan sebarang akaun media sosial sama Facebook, Instagram atau Twitter.

Dong Won berkata, kehidupan peribadi hanya untuk dirinya dan tidak perlu dikongsi dengan umum.

“Saya tidak mahu menjadi ‘harta benda’ umum. Saya mahu menikmati kehidupan peribadi sebagaimana yang saya suka.

“Biarlah saya fokus kepada menjadi pelakon yang bagus kerana itulah satu-satunya niat saya menceburi lakonan. Lagipun, lakonan adalah pekerjaan yang saya mahu lakukan dalam hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Dong Won juga bakal membintangi sebuah filem terbitan produksi di Hollywood, Amerika Syarikat (AS) berjudul Tsunami LA.

Dong Won juga menyifatkan peluang berlakon di AS itu sama istimewa dengan tawaran lain yang diterima.

“Memang impian setiap pelakon untuk menembusi Hollywood. Bagaimanapun, saya melihat ia sama rata saja dengan peluang yang lain dan tidak perlu berasa riyak.

“Bukan di sana saja, saya sentiasa menantikan peluang untuk berlakon di pelbagai negara lain. Di Asia sekalipun saya tidak kisah,” katanya yang pertama kali ke Malaysia menjayakan sesi bertemu peminat secara tertutup, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 12:19 PM