Georgie Joseph

 

PELAKON, Bella Rahim, 46, yang melakonkan watak Mejar Jane dalam filem Korea Selatan, Peninsula (Train to Busan presents) mendedahkan sanggup meminjam wang daripada rakan demi mengejar cita-cita menjadi pelakon berkualiti.

Bella atau nama sebenarnya Siti Robela Abdul Rahim menjelaskan dia berbuat demikian demi membiayai pengajiannya di École Philippe Gaulier, Perancis beberapa tahun lalu dalam misi menggenggam sijil Diploma Seni Persembahan.

"Peluang untuk belajar di sana bagi saya adalah sangat berharga dan tidak harus dilepaskan. Apatah lagi, pemilik sekolah pengajian itu sendiri yang menawarkan saya untuk menyambung pengajian di sana.

"Saya memulakan pengajian pada 2014, namun terpaksa pulang Malaysia semula pada 2015 disebabkan perlu mengumpul wang untuk bayar pembiayaan. Saya juga terpaksa pinjam duit kawan-kawan demi menghabiskan pengajian itu.

"Apa saya fikirkan ketika itu adalah nak habiskan pengajian dengan cara apa sekali pun. Mujur, kawan semua baik hati untuk membantu dan setiap kali dapat bayaran persembahan atau projek, saya akan bayar ansuran wang mereka," katanya.

Bella mengakui perit jerih itu sangat membuahkan hasil apabila profil memiliki diploma dari Paris itu sangat berguna membintangi Peninsula. Menurutnya, tidak pernah terlintas langsung bakal mewakili Malaysia di persada filem luar negara.

"Sebenarnya, dulu saya bekerja sepenuh masa dalam bidang fesyen sebagai penerbit selain menguruskan pelbagai acara. Pada 2007, saya kemudian bekerja sambilan sebelum memulakan langkah sebagai pelakon teater.

"Selepas itu, saya makin serius dalam lakonan dan sanggup habiskan masa beberapa tahun di Paris untuk pengajian itu. Rupanya, profil kelulusan itu jugalah antara yang menguatkan resume saya dipilih membintangi Peninsula bahkan pelakon utamanya Gang Dong-won pun tahu.

"Paling tidak disangka, peluang dapat mewakili Malaysia dalam filem yang sangat besar sebegitu. Tumpuan yang diberikan kepada saya sekarang membawa makna sangat berharga buat saya serta kerjaya secara peribadi," katanya.

Terdahulu, nama Bella menjadi bualan di sosial media selepas filem Peninsula mula ditayangkan di pawagam baru-baru ini. Ramai tidak sangka watak Jane dalam filem itu rupanya pelakon dari Malaysia.

Diarahkan Yeon Sang-ho, filem sekuel Train to Busan terbabit menampilkan nama besar Korea termasuklah Gang Dong-won, Lee Jung-hyun, Lee Ree, Koo Kyo-hwan, Kwon Hae-hyo, Kim Min-jae, dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 2:11 PM