SAMUEL  mengendalikan kelas Bahasa Inggeris menggunakan tablet.
SAMUEL mengendalikan kelas Bahasa Inggeris menggunakan tablet.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERTAMA kali menerima tawaran untuk bertugas di Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan, Pahang pada 2012 bukan sesuatu yang diimpikan Samuel Isaiah sebaik bergelar pendidik yang juga penerima anugerah Guru Adiwira Kebangsaan 2019.

Pemuda berusia 32 tahun itu ternyata terkejut selepas dimaklumkan sekolah bakal menjadi ‘pejabat’ mempunyai lebih 200 murid Orang Asli dari suku kaum Jakun yang masih selesa dengan kehidupan yang dinikmati selama ini.

Bertitik tolak daripada itu, Samuel tidak menoleh
ke belakang dan tekad untuk menafikan persepsi masyarakat luar bahawa Orang Asli sukar untuk menerima pembaharuan khususnya dalam pendidikan yang ternyata masih asing dalam komuniti itu.

Menurutnya, sejak menjadi guru Bahasa Inggeris, pelbagai program pendidikan diwujudkan untuk memastikan suasana pembelajaran murid Orang Asli sesuatu yang bermakna agar timbul minat untuk hadir ke sekolah.

“Antara idea yang saya wujudkan adalah mengumpul dana awam menerusi platform kutipan give.my di mana dana berjumlah RM10,000 berjaya dikumpul untuk memberi peralatan pembelajaran seperti tablet, komputer dan skrin layar untuk mewujudkan suasana pembelajaran moden.

“Saya mahu murid Orang Asli merasai kelebihan yang dirasai murid di bandar khususnya dalam pembelajaran berteknologi tinggi menggunakan peralatan moden. Lebih bermakna penyanyi Altimet turut menjadi duta kepada program berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

SUASANA kelas tampil ceria ketika pembelajaran Bahasa Inggeris.
SUASANA kelas tampil ceria ketika pembelajaran Bahasa Inggeris.

Selain itu, program lain yang diwujudkan Samuel sejak 2015 antaranya Kelas Abad Ke-21 yang menampilkan suasana kelas berbeza dan ceria dan mengajar Bahasa Inggeris menggunakan Ukulele.

Bukan itu saja, program ‘sekolah pokok’ membolehkan komuniti Orang Asli khususnya mereka yang keciciran dan berhenti sekolah dapat belajar dengan suasana yang lebih seronok kerana diadakan berhampiran rumah mereka selain mempunyai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Australia, New Zealand dan Jerman untuk membantu murid berkomunikasi menerusi e-mel.

Samuel berkata, selepas lebih lapan tahun bersama komuniti Orang Asli, ternyata mereka mempunyai potensi yang besar untuk berjaya seperti masyarakat luar sekiranya diberi pendedahan yang sama rata seperti dinikmati murid di bandar.

“Saya anggap mereka (murid Orang Asli) sebagai anak kerana mereka memerlukan saya sebagai pendidik agar tidak terus tercicir dalam arus pemodenan dan menganggap pendidikan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan.

“Komuniti Orang Asli menyokong sepenuhnya program yang dianjurkan kerana menganggap ia sesuatu yang baru dan seronok untuk diterokai dan berharap lebih banyak lagi program dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Kuantan.

Graduan Universiti Utara Malaysia dan Maktab Perguruan Pulau Pinang itu akan terus memastikan komuniti Orang Asli terus mendapat pendidikan yang terbaik selari dengan pemodenan abad ke-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:20 AM