TINGGALKAN gaji lumayan untuk teroka bidang pengacaraan.
TINGGALKAN gaji lumayan untuk teroka bidang pengacaraan.
Ardini Sophia Sina


Tidak pernah terlintas di fikiran wanita berusia 28 tahun ini dia bakal bergelar pengacara dan menjadi sebahagian daripada keluarga industri seni.

Meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai jurutera operasi, Sarah Adiba Mohammed Yussof diasak pertanyaan tidakkah dia ralat atau menyesal melepaskan posisi yang menawarkan gaji lumayan?

Bagi Sarah Adiba, tiada istilah kesal sebaliknya dia seronok dan teruja meneroka dunia pengacaraan. Selepas menjadi peserta Clever Girl, Sarah pernah dilantik menjadi wartawan Wanita Hari Ini serta mengendalikan program majalah jenayah, 999.

“Ramai tanya kenapa saya tinggalkan kerjaya lama dan tidakkah saya menyesal berbuat demikian. Jujur, saya tidak pernah menyesal. Saya seronok dengan apa yang saya buat sekarang.

“Saya percaya platform ini boleh membantu saya mengembangkan bakat dan peluang juga lebih luas. Banyak benda baru saya boelh belajar apabila menceburi bidang ini,” katanya.

Selepas meninggalkan program 999, Sarah merasakan dirinya bernasib baik kerana dipanggil untuk mengemudi program bual bicara berjudul Borak Kopitiam. Ini adalah rancangan televisyen pertama kendaliannya secara langsung.

Mengamalkan prinsip ‘mengikut arus rezeki’ wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu hanya ada satu misi iaitu mahu menjadi kebanggaan keluarganya.

“Saya mahu apabila ibu lihat saya di televisyen, dia akan cakap, ‘itu anak saya’. Jadi, dalam setiap perkara yang dilakukan, saya akan pastikan ia membuatkan keluarga bangga.

“Saya bernasib baik kerana terpilih menjasi salah seorang hos Borak Kopitiam. Rezeki memang sukar dijangka dan saya terima semua peluang yang ada depan mata,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Bukan mengejar populariti, Sarah menegaskan dia tidak perlu melakukan perkara yang boleh menarik perhatian masyarakat hanya semata-mata mahu tular di laman sosial.

Bagaimanapun, dia tidak menghalang mahupun mengkritik mana-mana pihak yang merasakan kaedah itu mampu menjadikan mereka terkenal serta digelar ‘instafamous’.

“Saya tidak perlu buat apa-apa untuk menarik perhatian umum. Saya tidak ada keperluan untuk popular dan tidak terburu-buru untuk dikenali. Saya lebih selesa ikut arus.

“Apa pun, kalau mereka yang merasakan perlu membuat sesuatu agar tular dan terkenal, itu hak mereka. Cuma, mereka perlu ingat bahawa semua yang sudah dimuat naik di laman sosial akan tetap ada sampai bila-bila,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:36 AM