AARON sebagai toyol dalam video promosi Bright.
AARON sebagai toyol dalam video promosi Bright.
GAMBAR kiri, pelakon utama Bright, Will Smith dan Joel Edgerton. Aaron berkongsi gambar di belakang tabir dalam Instagram.
GAMBAR kiri, pelakon utama Bright, Will Smith dan Joel Edgerton. Aaron berkongsi gambar di belakang tabir dalam Instagram.
HM Digital

Kemunculan Aaron Aziz dalam promosi filem Bright membuat ramai teruja kerana menyangka pelakon popular tanah air itu beraksi di sisi bintang Hollywood, Will Smith.

Dalam video promosi itu, Aaron disolekkan sebagai toyol dan lengkap berpakaian polis duduk di bahagian belakang kereta dipandu Joel Edgerton manakala Smith di tempat penumpang.

Malah, dialog Aaron seolah-olah sebahagian daripada babak Bright membuatkan ramai netizen mempercayai dia membintangi filem fantasi aksi arahan David Ayer itu.

Ada juga menyatakan kekecewaan mereka apabila menyedari video itu cuma mempromosikan Bright selepas menyaksikan filem berkenaan.

Aaron ketika dihubungi berkata, watak toyol dipilih Netflix kerana makhluk halus itu popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Penerbit Netflix mahu menampilkan video promosi tempatan dan toyol paling dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Manakala makhluk Elf dan Orc yang diketengahkan dalam filem itu kurang dikenali orang tempatan,” katanya.

Mengulas reaksi orang ramai terhadap video promosi Bright, pelakon KL Gangster itu berpendapat tiada masalah bagi Netflix untuk mengetengahkan gimik seperti itu.

“Peminat tegar pasti mengetahui ini adalah strategi pemasaran untuk mempromosi karya baru Netflix.

“Filem The Crown dan War Machine yang dibintangi Brad Pitt juga menggunakan cara promosi seperti ini,” katanya.

Bercerita lanjut, Aaron mengakui lakonan itu mencabar baginya kerana perlu beraksi dengan mendengar dialog Smith dan Edgerton.

“Ini juga kali pertama saya berlakon sebagai toyol. Memang sukar melakonkan babak itu kerana dua pelakon berkenaan tiada di lokasi dan berdasarkan dialog mereka.

“Selain itu, ini juga kali pertama saya berlakon dengan produksi besar antarabangsa dan memberi pengalaman bagus kepada saya,” katanya.

Buat sekuel walaupun banyak kritikan

Dalam perkembangan lain, Netflix mengumumkan sekuel baru Bright walaupun dilabelkan sebagai filem paling teruk 2017.

Biarpun mendapat banyak ulasan negatif, Netflix mengumumkan Bright mendapat jumlah tontonan paling tinggi pada minggu pertama siaran dalam perkhidmatan penstriman berbayar itu.

Netflix turut mengesahkan Smith dan Edgerton kembali dalam sekuel itu, manakala Ayer akan mengarah serta menulis skrip.

Filem Bright mula disiarkan dalam aplikasi Netflix pada 22 Disember lalu dan menelan kos perbelanjaan RM361.7 juta.

Dunia dalam Bright memaparkan manusia hidup dengan makhluk mistik Elf, Orc, Fairy dan kuasa magik turut wujud.

Smith berlakon sebagai pegawai polis Jabatan Polis Los Angeles bernama Daryl Ward yang terpaksa bekerjasama dengan polis baru Nick Jakoby.

Kebetulan pula, Jakoby adalah makhluk Orc dan adalah pegawai polis pertama daripada spesies itu.

Kemuncak jalan cerita bermula apabila beberapa penjahat mahu memperoleh kuasa luar biasa Wand yang dilindungi Ward, Jakoby dan gadis Elf bernama Tikka. - Michelle Gun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 6:36 AM