JOE cemburu kejayaan rakan di Amerika Syarikat.
JOE cemburu kejayaan rakan di Amerika Syarikat.
Georgie Joseph


Dalam berkarya, banyak percaturan yang perlu dipertimbangkan seseorang pemuzik sama ada dari aspek keuntungan mahupun meluaskan profil. Pendirian perlu tetap untuk utamakan mana satu yang diinginkan.

Pemuzik yang tidak mahu terperuk dalam zon selesa dan bercita-cita mengembangkan lagi nama, dia perlu drastik. Ada masa kita kena mendengar kata hati daripada menyesal pada kemudian hari.

Itulah yang dilakukan Presiden Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow apabila memutuskan untuk melancarkan single terbarunya berjudul Drop, baru-baru ini. Rupa-rupanya ada kisah menarik di sebalik percaturan yang dibuat penyanyi berusia 38 tahun itu.

“Drop adalah sebuah lagu yang melanggar semua prinsip saya sebagai ahli perniagaan. Sepatutnya ada lagu lain iaitu lagu Melayu yang patut dilancarkan dulu namun saya ikut kata hati untuk tampilkan single itu terlebih dulu.

“Saya meminta pihak pengurusan untuk bekukan sebentar pelancaran lagu Melayu berkenaan sehingga mereka sendiri tertanya-tanya kenapa. Saya langsung tidak boleh jawab pertanyaan itu.

“Saya cuma berasa inilah masanya berbuat demikian kerana ramai kenalan di luar negara seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun juga memerhatikan saya. Saya tidak mahu kesal suatu hari nanti gara-gara tidak mengikut kata hati,” katanya.

Berbekalkan lagu itu jugalah anak jati Subang Jaya ini mahu merealisasikan impiannya mengembangkan nama di Barat. Baginya, dia tidak mahu mensia-siakan kelebihan yang ada sekarang.

Apa lagi dengan kejayaan ramai rakannya di Amerika Syarikat (AS), dia mengakui sangat terkesan dan cemburu melihat kejayaan mereka.

“Saya memang sangat cemburu apabila melihat mereka kini berada di tahap membanggakan. Contohnya, Jay Park yang dilamar Jay-Z memasuki labelnya, Agnez Monica masuk label Chris Brown dan beberapa lagu Yuna masuk carta Billboard.

“Bukan cemburu dan iri hati sebaliknya cemburu dengan kejayaan sebegitu dan tumpang bangga. Itu yang saya mahukan sekarang dan Drop adalah percaturan terbaik untuk menjadikan ia satu realiti.

“Tidak bermaksud lagu sebelum ini tidak sehebat lagu itu memandangkan lagu Havoc misalnya memang mendapat perhatian di luar negara. Tapi saya sendiri berasakan Drop mampu membawa saya jauh lebih tinggi,” katanya.

Joe juga bersyukur memiliki kelebihan berbahasa inggeris dengan baik dan mahu menjadikan kelebihan itu sebagai senjatanya. Baginya, ia elemen yang sangat penting untuk memastikan diterima baik di peringkat global.

YAKIN lagu Drop boleh membawanya pergi lebih jauh dalam industri muzik.
YAKIN lagu Drop boleh membawanya pergi lebih jauh dalam industri muzik.

“Saya perhatikan ramai pemuzik lain tidak berani untuk berbuat demikian disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Tiada sebab untuk saya tidak meneruskan impian itu dengan kelebihan yang dimiliki.

“Lagipun, sekarang saya sudah kenal rapat dengan ramai penyampai radio serta pegawai promosi di AS. Sebelah kaki sudah ke sana dan saya tidak mahu sia-siakan peluang ini,” katanya.

Kena fikir lebih jauh

Sejak muzik video Drop dilancarkan baru-baru ini, Joe tidak terkecuali mendapat kecaman rakyat Malaysia gara-gara babak wanita berbikini dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, dia sedia menerima kecaman, namun pada masa sama memohon maaf kepada pihak yang tersinggung.

Menurutnya, dia tidak melihat ia sebagai isu besar memandangkan model berkenaan bukan warganegara Malaysia namun bersedia menerima kecaman.

“Pertama sekali saya ingin meminta maaf dan sedia menerima segala kritikan mengenai video itu. Saya pun sebenarnya sudah menjangkakan perkara ini.

“Bagaimanapun, saya cuma mahu menjelaskan bahawa model dalam video itu adalah wanita Brazil. Jadi ia bukan masalah besar, lagipun mereka di Brazil tidak sabar melihat hasilnya,” katanya.

Joe mengatakan konsep video itu ditentukan pihak label yang berniat untuk memasarkannya di peringkat antarabangsa.

Dalam pada menerima dengan hati yang terbuka kecaman netizen, menurut Joe, dia tidak perlu terkesan dengan perkara itu.

“Bukan hendak buatkan peminat di sana tawar hati tetapi saya tidak pernah membaca komen di YouTube. Mereka terbuka untuk memberi apa juga pandangan.

“Bagi saya golongan yang mengecam itu mungkin terlalu banyak masa untuk berbuat demikian sedangkan banyak lagi perkara penting yang patut jadi perhatian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 6:55 AM